Pelaburan emas di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Saya mula kenal emas pada tahun 2020. Namun, ianya telah bermula sejak awal tahun 2000 lagi. Jom saya tunjuk.
Syiling Kijang Emas, berat 1 ounce (31.10 gram) yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada tahun 2001 dulu nilainya RM1,082.
Pada tahun 2008, nilainya sudah meningkat ke RM3,048. Ini adalah kenaikan sebanyak 181.70% dalam masa 7 tahun! Purata pulangan 25.95% setahun.
Dan untuk pengetahuan anda, ketika artikel ini ditulis, syiling Kijang Emas dah cecah RM11,587! Tapi macam mana sebenarnya nak mulakan pelaburan emas di Malaysia?
Ada beberapa cara sebenarnya dan untuk artikel kali ini, kita akan cerita tentang cara yang pertama, membeli emas di kedai emas biasa.
Membeli emas di kedai emas
Salah satu cara termudah adalah dengan membeli di kedai emas yang berhampiran. Pergi kedai dan terus beli. Namun, ada tips yang saya ingin kongsikan dan beberapa panduan penting yang perlu diambil kira sebelum anda membeli emas di satu-satu kedai.
Beli di kedai terkemuka
Saya sangat sarankan anda beli emas di kedai yang terkemuka ataupun dah ada nama. Contohnya, Poh Kong, Habib Jewel, Kedai Emas Sri Tanah Merah dan lain-lain. Saya juga pernah beli emas 1 gram Bunga Raya keluaran Poh Kong.
Beli Gold Bar 24 karat
Untuk tujuan pelaburan, sepatutnya kita kena beli emas gold bar 24 karat atau nama lainnya, emas 999. Sebab kalau kita beli barang kemas, harganya lebih mahal. Ini disebabkan kos upahnya yang tinggi.
Dan lebih baik jika anda mencari gold bar PAMP Suisse (jenama antarabangsa). Bukan semua kedai jual emas jenama ini. Kalau tak jumpa, pergi cari di kedai lain.
Faktor yang perlu diambil kira
Ini bahagian yang sangat penting. Sebelum beli emas, pastikan anda tanya sama ada mereka akan membeli balik emas tersebut di masa hadapan. Kebiasannya mereka akan meminta anda untuk membawa sekali resit asal bila nak jual balik.
Seterusnya, tanya berapakah potongan yang mereka akan tolak apabila anda ingin menjual semula emas tersebut. Julat potongan yang biasa ditawarkan sekitar 10% hingga 15%.
Tanya juga jika ada jumlah potongan tambahan jika emas tersebut calar, terguris, kemek atau bengkok. Jika anda inging menggunakan credit card, tanya berapa surcharge yang dikenakan. Biasanya sekitar 3%.
Bila anda dah dapat kesemua jawapan berdasarkan pertanyaan di atas, barulah anda buat keputusan untuk beli atau tidak.
Kelebihan membeli di kedai emas
- Mudah nak dicari dan kebanyakannya dekat dengan tempat tinggal kita. Berbeza dengan syiling Kijang Emas yang cuma boleh dibeli di cawangan Maybank tertentu.
- Boleh pergi lepas waktu kerja. Tak perlu terburu-buru, tak seperti membeli emas di bank kerana waktu operasinya sama macam office hour, 9 pagi hingga 5 petang.
- Boleh gunakan kredit kad, ada bank yang hanya berurusan dengan cash sahaja untuk membeli emas.
- Boleh tawar-menawar dan boleh dapat diskaun kalau anda pandai borak.
- Terus dapat emas fizikal dan pegang sendiri. Seronok! Kalau tengah sesak dan nak pakai duit, boleh terus ke Ar-Rahnu.
Kelemahan membeli di kedai emas
Cuma masih juga ada kekurangan dan kelemahannya. Yup, tak dinafikan dan memang ada. Sambung baca ya.
- Kalau beli di kedai yang tak ada nama, mungkin kedai tersebut akan tutup atau pindah ke tempat lain. Cawangan pun tak banyak, jadi menyusahkan kita bila nak jual balik.
- Harga jualan balik biasanya tolak 10% ke 15% dari harga emas semasa. Berbanding Kijang Emas yang hanya sekitar 3.1% ke 2%.
- Kos yang lebih tinggi kerana mereka akan kenakan kos workmanship.
- Ada sesetengah kedai emas yang lambat update berapa harga emas semasa. Rugi la kalau kita tak tahu sama ada harga emas tengah naik atau turun pada ketika itu.
Itu sahaja yang saya dapat kongsikan dengan anda tentang belian emas di kedai. Insya-Allah saya akan menulis tentang beberapa cara yang lain tentang pelaburan emas di Malaysia.
Irfan Sa’id,
Anak Muda Simpan Emas.