Emas 18K Boleh Gadai Ke? Jawapannya, Ya Tapi Ada Syaratnya!
Kita semua pernah dengar nasihat orang tua-tua: “Kalau ada emas, simpan elok-elok. Masa susah boleh digadai.” Tapi zaman sekarang, dengan pelbagai jenis emas di pasaran – dari 999, 916, 750, sampai lah ke GP dan ZZZ. Ramai jadi keliru.
Antara soalan paling kerap ditanya kepada saya ialah, “Emas 18K boleh gadai ke?”
Jawapannya, YA, emas 18K memang boleh digadai. Tapi, seperti biasa, ada beberapa perkara penting yang anda perlu faham sebelum ke kedai pajak.
Apa Itu Emas 18K?
Sebelum kita pergi jauh, mari kita faham dulu apa sebenarnya emas 18K ni. Kalau kita biasa dengan istilah emas 916 (yang bermaksud 91.6% emas tulen), emas 18K pula merujuk kepada emas yang mengandungi 75% emas tulen, dan 25% lagi adalah campuran logam lain seperti tembaga, perak, atau zink.
Dalam bahasa profesional, ia juga dipanggil emas 750, sempena 750 bahagian daripada 1,000 adalah emas tulen. Campuran logam ini menjadikan emas 18K lebih kuat dan tahan calar, sebab itulah ia popular dalam pembuatan barang kemas seperti cincin, rantai, dan gelang.
Jadi, Boleh Gadai Tak?
Seperti yang kita sebut di awal tadi, boleh! Emas 18K memang diterima di kebanyakan Ar Rahnu atau kedai emas yang menawarkan khidmat gadaian. Apa yang mereka nilai adalah kandungan emas tulen dalam barang kemas tersebut.
Contohnya, jika anda ada cincin emas 18K seberat 10 gram, kandungan emas tulen adalah lebih kurang 7.5 gram. Maka, pinjaman yang anda boleh dapat berdasarkan nilai emas tersebut (berdasarkan harga emas semasa).
Proses Gadai Emas 18K
Jom kita bayangkan satu situasi ini. Anda ada cincin emas 18K yang dah lama tak dipakai. Anda berada dalam keadaan terdesak, mungkin nak bayar duit deposit rumah sewa atau yuran universiti. Jadi, anda pun bawa cincin tu ke kedai pajak. Pekerja kedai akan:
1. Timbang cincin tu untuk tahu beratnya.
2. Sahkan kandungan emas (biasanya ada cop 750 atau 18K).
3. Kira nilai berdasarkan harga emas semasa dan kadar pinjaman mereka (biasanya sekitar 70-80% dari nilai emas).
4. Tentukan kadar upah simpan bulanan, biasanya antara 1%-2% sebulan.
5. Serahkan wang tunai, dan simpan cincin anda sebagai cagaran. Selepas itu, anda akan diberi tempoh (biasanya 6 bulan) untuk tebus balik barang dengan membayar jumlah pinjaman + upah simpan.

Tapi Ada Beberapa Perkara Penting Kena Tahu
Walaupun emas 18K boleh digadai, ada beberapa aspek yang boleh menjejaskan nilai dan kelayakan gadaian anda.
1. Nilai Barang Kemas: Nilai emas 18K bergantung pada berat bersih dan harga emas semasa. Lagi berat, lagi tinggi nilainya. Tapi ingat, logam campuran 25% tak diambil kira dalam nilai emas, sebab ia bukan emas tulen.
2. Keadaan Barang Kemas: Jika barang kemas anda rosak, patah, atau hilang batu permata, ia mungkin akan mengurangkan nilai gadaian. Sebab itu penting untuk simpan barang dalam keadaan baik, walaupun dah lama tak dipakai.
3. Kadar Upah: Setiap Ar Rahnu ada kadar berbeza, dan ini mempengaruhi berapa banyak jumlah yang anda perlu bayar balik. Pastikan anda semak kadar sebelum bersetuju.
4. Tempat Gadai: Tak semua tempat menerima emas 18K. Ada yang hanya terima emas 916 ke atas. Jadi, sebelum anda pergi ke mana-mana kedai pajak, telefon dulu tanya: “Saya ada cincin emas 18K. Boleh gadai ke dekat sini?”
Jangan Keliru Dengan Emas GP
Nah, sekarang tiba bab yang paling ramai orang tersilap dengan cop 18KGP. Ramai yang nampak tulisan “18KGP” atau “750GP” dan terus ingat itu emas 18K yang boleh digadai.
Tapi sebenarnya 18KGP bermaksud 18 Karat Gold Plated. Dalam Bahasa Malaysia, logam biasa yang disalut nipis dengan emas. Ia bukan emas tulen. Salutan emas tu sangat nipis dan tidak cukup nilai untuk digadai atau dijual balik.
Jadi, kalau anda jumpa rantai dengan cop GP, 18KGP, 18GP, 750GP, JJ, ZZZ, itu tandanya logam saduran emas, bukan emas tulen. Memang boleh dipakai, cantik pun cantik. Tapi jangan harap boleh gadai atau jual di kedai emas. Nilai jual semula hampir zero!

“Tapi Emas GP Pun Ada Warna Macam Asli…”
Ya, betul. Emas GP memang dibuat supaya nampak macam emas betul. Tapi, bila diuji contohnya dengan asid atau mesin x-ray, ia akan kantoi juga. Kedai pajak tahu cara beza logam tulen dan saduran. Jangan malu kalau kena tolak, anggap saja sebagai proses pembelajaran.
Ada juga yang bertanya, “bila waktu sesuai nak gadai emas 18K ini?”
Emas 18K sesuai digadai bila anda perlukan wang dalam masa singkat, tapi masih ada jaminan untuk tebus balik dalam beberapa bulan. Contohnya, anda perlukan duit kecemasan tapi tak nak jual emas sepenuhnya. Anda yakin boleh bayar balik dalam masa terdekat.
Anda ada barang kemas lama yang tidak dipakai. Tapi kalau anda tahu anda tak mampu nak tebus, mungkin lebih baik jual emas tersebut secara terus, daripada biarkan ia tergadai dan akhirnya dilelong.
Emas 18K Tetap Bernilai, Tapi Jangan Keliru
Kesimpulannya, emas 18K memang boleh digadai, asalkan ia benar-benar emas tulen dan bukan emas GP. Ia adalah satu bentuk aset yang fleksibel, mudah dicairkan dan boleh membantu anda dalam situasi kewangan terdesak.
Tapi pastikan anda tahu perbezaan antara emas 18K dan emas saduran. Faham terma dan syarat gadai. Seterusnya, tahu tempat yang sesuai untuk gadai. Ada perancangan untuk tebus balik pinjaman. Dan satu perkara penting, jangan mudah terpedaya dengan harga murah di media sosial yang jual “emas 18K” tapi sebenarnya emas GP.
Kalau harganya terlalu murah, besar kemungkinan bukan emas tulen. Kalau anda nak beli emas sebagai simpanan jangka panjang atau kecemasan, pilihlah emas yang jelas ketulenannya, sama ada emas 916, 999, atau 750 yang betul-betul sah.
Paling mudah, anda boleh shopping dekat PG Jewel, platform rasmi Public Gold untuk beli barang kemas emas tulen secara online. Semua emas di sana datang dengan sijil ketulenan dan jaminan buyback.

Nak beli cincin emas 18K, rantai 916, atau gelang emas 999 pun boleh, semuanya dihantar terus ke rumah dengan selamat. Tak payah risau kena tipu dengan “emas palsu” atau GP yang hanya saduran. Lagi best, harganya telus ikut pasaran semasa, bukan main markup ikut suka.

Kalau anda baru nak mula simpan emas, boleh juga buka Akaun Emas GAP Public Gold serendah RM100. Emas simpanan boleh dikumpul sikit-sikit dan bila dah cukup, tukar je jadi barang kemas di PG Jewel. Mudah, selamat, dan dijamin tulen!
Saya belikan hadiah rantai leher untuk mak saya di PG Jewel. Cantik sangat! Baca di sini.

Kalau anda ada emas 18K sekarang, tak kira gelang kah, cincin kah, rantai warisan nenek pun, simpan baik-baik. Mana tahu, satu hari nanti. emas itulah yang akan bantu anda keluar dari situasi yang sukar.
Soalan terakhir untuk anda: Pernah ke anda gadai emas 18K? Atau mungkin ada pengalaman ditipu beli “emas” yang rupa-rupanya hanya saduran? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen!
Irfan Sa’id,
Beli emas dengan ilmu. Baru untung!