Kekurangan Simpanan Emas Yang Wajib Anda Tahu

Kekurangan simpanan emas

Dalam dunia kewangan, tidak ada satu pun instrumen pelaburan yang sempurna 100%. Setiap aset sama ada saham, hartanah, mahupun kripto mempunyai sisi gelap atau kekurangannya yang tersendiri.

Ini termasuklah emas, aset yang sering dianggap sebagai “safe haven”. Sebelum anda memutuskan untuk memindahkan simpanan anda ke dalam bentuk emas, izinkan saya kongsikan beberapa kekurangan emas yang wajib anda hadam terlebih dahulu.

Emas Tidak Menghasilkan Dividen atau Bonus

Satu fakta yang perlu anda terima ialah emas adalah aset yang “mati” atau pasif. Ia tidak seperti simpanan dalam ASB atau Tabung Haji yang memberikan dividen tahunan, dan ia juga tidak memberikan compound interest.

Jika anda menyimpan 100 gram emas hari ini, beratnya akan tetap 100 gram sehingga 10 tahun akan datang. Keuntungan emas hanyalah bergantung sepenuhnya kepada kenaikan harga pasaran semasa (capital gain).

Jika anda seorang pelabur yang mengharapkan aliran tunai masuk setiap bulan atau tahun dalam bentuk dividen, emas mungkin bukan instrumen yang sesuai untuk anda.

Golongan pelabur bijak biasanya menyimpan emas bukan untuk “cepat kaya”, tetapi sebagai pelindung kekayaan (wealth protection). Emas adalah aset kalis inflasi yang bertindak sebagai insurans kepada kejatuhan nilai mata wang.

Kepelbagaian Produk Yang Mengelirukan

Dunia emas hari ini bukan sekadar barang kemas 916 yang dipakai di leher atau lengan. Terdapat pelbagai produk emas di pasaran yang boleh membuatkan pemula rasa pening dan keliru. Kita ada emas fizikal (jongkong dan syiling), akaun simpanan emas digital, ETF (Exchange-Traded Fund), spot gold, hingga ke pasaran hadapan (futures).

Risiko terbesar bagi penyimpan emas yang tiada ilmu adalah tersalah pilih produk. Sebagai contoh, ada individu yang terjebak dalam trading spot gold kerana terpengaruh dengan janji untung berpuluh ribu ringgit sehari.

Namun, tanpa ilmu teknikal yang mendalam, modal yang dikumpul bertahun-tahun boleh lebur sekelip mata. Begitu juga dengan skim emas yang menjanjikan pulangan tetap bulanan. Itu adalah tanda merah (red flag) penipuan dalam dunia emas. Sebelum membeli, bacalah buku atau bertanyalah kepada mentor yang bertauliah agar mata tidak kelabu dengan janji manis.

Beban Kos dan Risiko Penyimpanan Fizikal

Apabila anda memiliki emas fizikal dalam jumlah yang besar, isu keselamatan menjadi keutamaan. Bayangkan anda memiliki jongkong emas seberat 100 gram atau barang kemas yang mencecah ratusan gram.

Pastinya menyimpan di dalam almari baju atau di bawah bantal tidak lagi membuatkan anda tidur lena. Perasaan bimbang rumah dipecah masuk atau kehilangan emas akan sentiasa menghantui fikiran.

Untuk mendapatkan ketenangan minda, anda terpaksa menanggung kos tambahan dengan menyewa peti simpanan selamat (safe deposit box) di bank atau syarikat swasta.

Kos sewa ini perlu dibayar setiap tahun dan jika dikira dalam jangka masa panjang, ia adalah satu liabiliti atau perbelanjaan yang perlu diambil kira dalam pengiraan keuntungan bersih anda.

Kesimpulan: Bijak Mengurus Strategi

Hakikatnya, setiap pelaburan ada kurangnya yang tersendiri. Ada orang yang melihat emas sebagai pelaburan paling menguntungkan dari sudut ekonomi, dan ada pula yang skeptikal serta suka menghasut orang lain agar menjauhi emas.

Itu adalah lumrah manusia kerana setiap daripada kita mempunyai profil risiko yang berbeza, we are wired differently.

Sebagai penyimpan yang bijak, kita perlu menggunakan akal dan ilmu sebelum meletakkan wang ringgit kita ke dalam mana-mana instrumen. Jangan hanya melihat pada kilauan emasnya, tetapi fahami juga beban dan risikonya.

Dapat sesuatu daripada perkongsian ini? Jika anda ingin mengetahui lebih banyak ilmu emas yang telus dan benar, jemput sertai komuniti saya di https://t.me/AbangHikers

Irfan Sa’id
Simpan emas guna akal.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *