Harga Emas Jatuh Hari Ini: Punca Teknikal & Fundamental Didedahkan

Harga Emas Jatuh Hari Ini

Ramai yang terkejut melihat harga emas menjunam hari ini. Malah, ada yang mula risau dan panik, terutama penyimpan emas yang baru bermula ketika harga masih tinggi sebelum ini.

Soalan paling popular hari ini dalam komuniti emas ialah: “Kenapa harga emas jatuh hari ini?”

Jawapan kepada persoalan ini tidak semudah satu ayat. Ia berkait rapat dengan analisis teknikal, data ekonomi semasa, serta sentimen pasaran terhadap dasar monetari Amerika Syarikat.

Dalam artikel ini, kita akan rungkaikan penjelasan dari dua sudut penting, iaitu teknikal dan fundamental supaya anda bukan sahaja faham apa yang sedang berlaku, tetapi juga tahu apakah langkah terbaik untuk diambil sebagai seorang penyimpan emas.

Analisis Teknikal: Harga Emas Pecah Sokongan Penting

a. Tanda Awal Harga Emas Jatuh Dalam Carta 4 Jam

Harga Emas Jatuh: Analisis Teknikal Harga Emas
Analisis Teknikal Harga Emas

Dari sudut teknikal (technical analysis), harga emas dalam carta 4 jam (4-hour chart) menunjukkan satu tanda yang kurang menyenangkan untuk peminat emas.

Dalam analisis teknikal, ada satu garisan penting yang dikenali sebagai 200-SMA, iaitu 200-period Simple Moving Average. Bahasa mudahnya, ini macam purata harga emas dalam jangka masa sederhana.

Bila harga berada di atas garisan ini, biasanya pasaran masih dianggap “sihat” atau masih dalam trend menaik. Tapi hari ini, harga emas jatuh dan tembus ke bawah garisan ini. Ini satu petanda awal yang menunjukkan kemungkinan besar harga akan sambung turun lebih jauh.

b. Pecahan Trend Saluran Menaik (Ascending Channel)

Penurunan ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Sebelum ini, harga emas berada dalam satu “saluran menaik” (ascending channel), maksudnya harga perlahan-lahan naik dalam tempoh beberapa minggu.

Tapi minggu ini, harga dah pecah keluar dari saluran itu ke arah bawah, satu tanda bahawa trend menaik tersebut mungkin sudah habis. Ini yang dipanggil sebagai ‘correction phase’ (fasa pembetulan), di mana pasaran sedang ‘cool down’ selepas kenaikan yang panjang.

c. RSI & MACD Tunjuk Isyarat Jualan Semakin Kuat

Apa lagi yang merisaukan? Beberapa alat analisis teknikal seperti RSI (Relative Strength Index) dan MACD (Moving Average Convergence Divergence) juga mula tunjukkan tanda-tanda jualan semakin kuat.

Harga Emas Jatuh: Analisis Teknial menggunakan RSI dan MACD
Analisis Teknial menggunakan RSI dan MACD

Dalam istilah teknikal, ini disebut sebagai ‘negative traction’, maksudnya momentum untuk naik dah hilang, dan tekanan jualan semakin bertambah.

Bila ini berlaku, kemungkinan besar harga emas akan jatuh ke paras sokongan seterusnya, iaitu sekitar $3,245. Kalau harga masih gagal bertahan di paras ini, penurunan boleh berterusan ke zon $3,210 hingga $3,200, dan paling rendah mungkin ke $3,175.

Tapi dalam pasaran, harga bukan turun terus saja. Akan ada halangan atau ‘resistance’ di atas yang mungkin menyekat cubaan harga untuk naik semula.

d. Halangan Kenaikan (Resistance) yang Perlu Ditembusi

Buat masa sekarang, rintangan terdekat (nearest resistance) terletak sekitar $3,324 hingga $3,325. Kawasan ini sebelum ini pernah menjadi titik pantulan (bouncing zone), jadi sekarang ia bertindak sebagai benteng kepada sebarang cubaan untuk naik semula.

Kalau harga emas berjaya lepas paras ini, ia akan berdepan satu lagi halangan sekitar $3,350, dan seterusnya di kawasan $3,368 hingga $3,370, yang dulu merupakan ‘lantai’ (support) kepada trend naik sebelum ini, tetapi kini berubah menjadi ‘siling’ (resistance) atau penghalang.

Dalam bahasa teknikal, ini dipanggil sebagai ‘breakdown point’. Hanya jika harga mampu lepasi semua halangan ini barulah outlook teknikal bertukar positif semula, dan pasaran mungkin akan sasarkan untuk kembali ke paras $3,400.

e. Gambaran Keseluruhan Masih Negatif Buat Masa Ini

Namun buat masa ini, gambaran teknikal masih negatif. Dalam erti kata lain, belum ada tanda yang cukup kuat untuk mengubah arah pasaran kepada menaik semula.

Sebaliknya, penurunan mungkin masih akan berterusan dalam tempoh terdekat, terutama jika tiada sokongan dari faktor fundamental (macam data ekonomi atau dasar kewangan global).

Fundamental: Data Ekonomi AS Jadi Tumpuan Pasaran

Dari sudut fundamental pula, penurunan harga emas berkait rapat dengan data ekonomi dari Amerika Syarikat serta spekulasi terhadap tindakan Federal Reserve.

Hari ini, pasaran sedang menanti data penting yang bakal diumumkan iaitu US Personal Consumption Expenditure (PCE) Price Index. Satu indikator utama yang menjadi perhatian Federal Reserve dalam menentukan dasar monetari.

Analisis Fundamental Harga Emas
Analisis Fundamental Harga Emas

Jangkaan pasaran menunjukkan PCE teras akan meningkat 0.1% bulan ke bulan dan 2.6% tahun ke tahun bagi bulan Mei. Jika angka sebenar lebih tinggi daripada jangkaan, ini akan menyokong hujah untuk Federal Reserve.

Mereka akan kekal berhati-hati dan tidak tergesa-gesa memotong kadar faedah. Sebaliknya, jika angka lebih rendah daripada jangkaan, ia boleh memberi isyarat bahawa inflasi sudah cukup jinak dan ruang untuk pemotongan kadar faedah lebih besar.

Namun yang menariknya, walaupun Dolar AS sedang melemah ke paras terendah sejak Mac 2022, harga emas tetap tidak naik, sebaliknya menurun. Ini satu perkara yang menarik untuk diperhatikan.

Biasanya, apabila Dolar AS lemah, harga emas akan naik kerana hubungan songsang antara kedua-dua aset. Tapi kali ini, walaupun USD lemah, emas tetap menjunam. Kenapa ini berlaku?

Apa yang Berlaku di Amerika?

a. Arah Sebenar Dasar Monetari AS

Pertama, ada kebimbangan tentang arah sebenar dasar monetari AS. Minggu ini, Pengerusi Fed, Jerome Powell mengulangi pendiriannya bahawa Fed tidak akan tergesa-gesa memotong kadar faedah sehingga mereka benar-benar yakin bahawa tekanan inflasi terkawal.

Powell juga menyebut bahawa kesan tarif baru perlu dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Kenyataan ini dilihat sebagai satu pendirian “wait and see” oleh Fed.

Harga Emas Jatuh: Trump ingin menamakan pengganti Powell
Trump ingin menamakan pengganti Powell

Namun ia segera mengundang kritikan dari bekas Presiden Donald Trump yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pemotongan kadar faedah.

Malah, laporan menunjukkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menamakan pengganti Powell seawal September atau Oktober ini.

Ini menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan Federal Reserve, dan memberi isyarat bahawa dasar monetari mungkin dipengaruhi secara politik pada masa akan datang.

b. Data Ekonomi AS Yang Lemah

Kedua, data ekonomi yang dikeluarkan semalam menunjukkan bahawa ekonomi AS lebih lemah dari jangkaan. Laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) suku pertama menunjukkan penguncupan -0.5% setahun, lebih rendah daripada anggaran awal -0.2%.

Penyumbang utama kepada penguncupan ini ialah perbelanjaan pengguna yang perlahan dan gangguan akibat tarif import. Selain itu, laporan dari Jabatan Tenaga Kerja AS menunjukkan bahawa walaupun tuntutan pengangguran awal menurun kepada 236,000.

Data Ekonomi AS yang lemah
Data Ekonomi AS yang lemah

Namun tuntutan berterusan meningkat ke 1.974 juta, iaitu paras tertinggi sejak November 2021. Ini menunjukkan pasaran pekerjaan yang perlahan, yang boleh memberi tekanan tambahan kepada Fed untuk mula melonggarkan dasar monetari.

Jangkaan semasa ialah kadar pengangguran AS mungkin meningkat ke 4.3% pada bulan Jun berbanding 4.2% pada bulan Mei. Jika ini berlaku, ia akan meningkatkan tekanan ke atas Fed untuk memotong kadar seawal bulan Julai.

Kenapa USD Masih Lemah Tapi Emas Tak Naik?

Jadi, kenapa harga emas jatuh walaupun semua ini kelihatan seperti menyokong harga emas naik? Jawapannya adalah kerana pelabur mengambil pendekatan ‘wait and see’ menjelang data PCE.

Apabila harga gagal bertahan di atas paras teknikal penting, pelabur jangka pendek mula menjual untuk ambil keuntungan dan elak risiko. Ini mencetuskan gelombang jualan (selling pressure) yang menyebabkan harga jatuh.

Tambahan pula, suasana pasaran sekarang menunjukkan sentimen risiko (risk appetite) yang agak positif, menyebabkan pelabur beralih kepada aset berisiko seperti saham dan meninggalkan aset selamat seperti emas buat sementara waktu.

Apa Maksudnya untuk Kita Sebagai Penyimpan Emas?

Bagi kita sebagai penyimpan emas, adakah ini masa untuk panik dan jual balik emas kita? Jawapannya tidak. Sejarah membuktikan bahawa penurunan harga emas dalam jangka pendek adalah perkara biasa dan sebahagian daripada kitaran pasaran.

Yang penting ialah kita faham bahawa nilai emas dalam jangka panjang masih kukuh. Emas adalah pelindung nilai terhadap inflasi, ketidaktentuan geopolitik, dan dasar monetari yang longgar.

Konsisten untuk menambah gram sehingga capai target
Konsisten untuk menambah gram sehingga capai target

Penurunan harga hari ini boleh dianggap sebagai peluang untuk kita membeli semula pada harga lebih rendah.

Malah, ramai pakar pelaburan bersetuju bahawa kita tidak perlu terlalu fokus pada “bila waktu terbaik beli”, tetapi sebaliknya fokus kepada konsistensi menambah gram emas.

Seperti kata seorang pelabur terkenal, “It’s not about timing the market, it’s about time in the market.” Jika kita simpan secara berkala – contohnya RM100 sebulan dalam Akaun Emas seperti GAP Public Gold, kita dapat manfaat dari strategi “average cost”.

Bila harga turun, kita dapat lebih gram. Bila harga naik, nilai simpanan kita meningkat. Yang penting, kita konsisten.

Kesimpulan: Harga Jatuh Bukan Bererti Rugi

Kesimpulannya, harga emas jatuh hari ini berpunca daripada kombinasi faktor teknikal dan fundamental. Pecahan paras sokongan teknikal menyebabkan tekanan jualan, manakala pelabur masih menunggu data inflasi PCE untuk menentukan hala tuju Fed.

Walaupun USD lemah, ketidaktentuan dasar monetari menyebabkan harga emas masih belum mendapat tanda-tanda menaik. Namun, sebagai penyimpan emas jangka panjang, kita tidak perlu risau.

Sebaliknya, kita boleh anggap penurunan ini sebagai peluang untuk menambah gram emas pada harga diskaun. Seperti biasa, yang paling untung ialah yang sabar, konsisten, dan faham bahawa pelaburan emas adalah untuk jangka panjang.

Bukan untuk spekulasi jangka pendek. Kalau anda masih belum mula simpan emas, inilah masa yang sesuai untuk mula. Dengan hanya RM100 pun dah boleh mula menyimpan. Hubungi saya untuk dapatkan bimbingan lanjut.

Yang penting, jangan tunggu kaya baru nak simpan emas, tapi simpan emas untuk bina kekayaan.

Ditulis oleh: Irfan Sa’id
Aktif berkongsi ilmu kewangan dan simpanan emas secara santai & berfakta.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *