Tips Mula Simpan Emas, Jangan Mula Selagi Belum Tahu

Ramai orang bermula dengan penuh semangat apabila melihat harga emas naik. Namun, tanpa persediaan mental dan matlamat yang jelas, ramai juga yang “terciduk” di tengah jalan kerana tersalah langkah.

Simpanan emas bukan sekadar membeli logam kuning, tetapi ia adalah sebahagian daripada strategi pengurusan kewangan yang besar.

Sebelum anda buat keputusan untuk menukarkan duit gaji kepada emas, anda perlu tanya 4 perkara penting ini kepada diri sendiri:

1. Apakah Tujuan Sebenar Aku Menyimpan Emas?

Emas tanpa tujuan selalunya akan lebur sebelum tiba masanya. Adakah anda menyimpannya untuk menunaikan haji dan umrah di masa hadapan? Atau mungkin anda mahu menghadiahkan sebuah rumah buat ibu dan ayah di kampung?

Ada juga yang menggunakan emas sebagai instrumen hantaran kahwin atau simpanan pendidikan anak-anak agar nilainya tidak dimakan inflasi.

Apabila matlamat anda jelas, anda tidak akan mudah goyah apabila melihat harga emas turun naik di pasaran. Anda tahu bahawa emas tersebut mempunyai “tugas” besar yang perlu diselesaikan suatu hari nanti.

2. Berapa Lama Tempoh Simpanan Yang Aku Rancang?

Emas fizikal adalah instrumen simpanan jangka masa sederhana dan panjang. Anda perlu menetapkan sasaran atau target yang realistik. Sebagai contoh, jika anda sekarang berumur 21 tahun, mampukah anda konsisten menyimpan sehingga umur 26 tahun nanti?

Dalam tempoh 5 tahun tersebut, emas yang dikumpul secara sedikit demi sedikit boleh menjadi modal yang sangat besar, contohnya untuk membayar deposit 10% bagi pembelian rumah pertama anda.

Jika anda merancang untuk menggunakan wang tersebut dalam masa kurang setahun, emas mungkin bukan pilihan terbaik kerana wujudnya selisih harga (spread).

3. Adakah Ia Sesuai Dengan Bajet Kewangan Aku?

Ramai yang menyangka menyimpan emas memerlukan modal ribuan ringgit. Sebenarnya, simpanan emas sangat fleksibel. Jika anda seorang mahasiswa atau baru sahaja mula bekerja, anda tidak perlu membeli sekilo emas sekaligus.

Cukup sekadar bermula dengan modal serendah RM100 melalui akaun simpanan emas digital yang patuh syariah.

Tanya diri sendiri, berapa peratus daripada pendapatan yang sanggup anda “bekukan” menjadi emas tanpa mengganggu kelangsungan hidup harian? Konsistensi jauh lebih penting daripada jumlah yang besar.

4. Jika Berlaku Kecemasan, Adakah Aku Mempunyai Simpanan Lain?

Ini adalah soalan yang paling kritikal. Jangan gunakan seluruh wang gaji anda untuk membeli emas sehingga anda tiada langsung simpanan tunai di bank. Kita perlu sentiasa bersedia untuk kecemasan luar jangka seperti kerosakan kenderaan atau bil perubatan mendadak.

Sekurang-kurangnya, pastikan anda telah memperuntukkan 10% daripada pendapatan bulanan ke dalam tabung kecemasan tunai. Jika anda sudah mempunyai benteng tunai ini, barulah anda boleh menyimpan emas dengan tenang.

Anda tidak perlu menjual emas anda pada harga rendah semata-mata kerana terdesak memerlukan wang tunai segera.

Bertindak Dengan Ilmu, Bukan Ikut-Ikutan

Jikalau keempat-empat soalan di atas mampu anda jawab dengan tenang dan yakin, maka usah ragu-ragu lagi. Bertindaklah segera kerana kefahaman yang lebih mendalam selalunya akan datang melalui pengalaman.

Tetapi, jika anda masih berasa ragu-ragu, jawapan masih samar-samar, atau “pening-pening lalat”, saya sarankan anda tangguhkan dahulu hasrat tersebut. Jangan melabur dalam apa jua instrumen jika anda belum faham risikonya.

Insya-Allah, peluang akan sentiasa ada. Sementara menunggu waktu yang tepat, carilah ilmu terlebih dahulu. Bacalah buku-buku kewangan yang santai, hadiri seminar, dan carilah guru yang bertauliah.

Ingat, pelaburan terbaik adalah pelaburan ke dalam ilmu sendiri. Barulah anda akan lebih yakin dengan pelan kewangan anda untuk masa depan.

Daftar Akaun Public Gold di sini.

Irfan Sa’id
Follow rapat-rapat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *