Nasihat Berguna Tentang Emas

Ramai yang bertanya saya, “Irfan, bila sebenarnya waktu paling sesuai nak beli emas?” atau “Macam mana nak tahu harga sekarang ni mahal atau murah?”.

Sebenarnya, jawapan kepada soalan-soalan ini tidak akan anda temui dalam graf harga semata-mata. Ia ada pada pengalaman dan tindakan.

Hari ini, saya ingin kongsikan beberapa nasihat berguna tentang emas yang saya pelajari daripada guru-guru saya. Nasihat ini bukan sekadar teori, tapi strategi praktikal untuk anda yang baru nak bermula.

1. Langkah Pertama: Pecahkan Tembok “Tunggu Dan Lihat”

Nasihat pertama yang paling penting ialah: Kita tidak akan faham tinggi atau rendah harga emas selagi belum bermula.

Kebanyakan orang tersangkut dalam fasa ‘analisis’ yang terlalu lama. Mereka perhati harga hari-hari, tunggu harga jatuh junam, tapi akhirnya satu gram pun tak terbeli. Apabila anda sudah mula membeli walau sedikit, secara automatik anda akan mempunyai benchmark atau tanda aras tersendiri.

Sebagai contoh, saya sendiri mula menyimpan emas secara serius pada harga RM267 segram pada tahun 2020. Saya masih ingat, saya membeli 1 Dinar secara bayaran penuh (Full Payment) dengan harga RM1,136 (termasuk caj premium RM10).

Belian emas 1 dinar saya
Belian emas 1 dinar saya

Pada awal tahun 2023, harga emas sudah mencecah sekitar RM287 segram. Jadi, apabila orang tanya saya, “Irfan, harga sekarang mahal atau murah?”, saya akan jawab “Ya, sekarang sudah tinggi”.

Kenapa saya kata begitu? Sebab benchmark peribadi saya adalah RM267.

Bayangkan, nilai 1 Dinar saya meningkat sebanyak RM80 dalam masa dua tahun. Ini baru kita kira untung dari segi kenaikan harga. Namun, ada satu lagi “untung” yang orang selalu terlepas pandang iaitu untung selamatnya duit.

Agak-agak anda, kalau duit RM1,137 itu saya biarkan saja dalam akaun bank dua tahun lepas, adakah ia masih ada sekarang? Besar kemungkinan sudah lebur buat belanja Shopee, makan-makan, atau tukar aksesori kereta.

Dengan emas, duit itu terpaksa selamat dalam bentuk fizikal yang bernilai.

2. Langkah Kedua: Mula Dengan Kecil Jika Masih Sangsi

Nasihat berguna tentang emas yang seterusnya adalah berkaitan dengan ilmu. Jangan terjun buta tuli. Dapatkan ilmu asas dahulu melalui pembacaan buku, blog, atau ikuti perkongsian guru-guru emas yang bertauliah di Facebook.

Jika anda masih merasa zero ilmu dan tiada pengalaman, jangan terus beli berkilo-kilo. Mula dengan bajet yang kecil dahulu. Apabila ada kawan-kawan yang bertanya saya cara nak mula, biasanya saya akan ajukan dua soalan penting ini:

a. Apa Tujuan Anda Simpan Emas? Adakah untuk dana kecemasan, dana pencen, dana pendidikan anak-anak, dana perkahwinan, atau dana untuk menunaikan umrah/haji? Matlamat yang jelas akan menentukan jenis emas yang patut anda beli.

b. Berapa Bajet Anda? Tetapkan bajet yang konsisten. Adakah anda mampu simpan 1 gram sebulan, atau anda ada wang simpanan tidur (cold money) yang cukup untuk beli 50 gram terus?

Setelah saya tahu matlamat dan bajet mereka, barulah saya akan tunjukkan strategi yang sesuai. Contohnya, bagi yang mempunyai bajet terhad, saya cadangkan kumpul sedikit demi sedikit melalui akaun emas GAP (Gold Accumulation Program).

Setiap bulan simpan 2-3 gram, dan apabila sudah cukup 50 gram (sebagai contoh), barulah buat pengeluaran emas fizikal untuk disimpan sendiri.

3. Anggap Belian Pertama Sebagai “Yuran Belajar”

Satu lagi nasihat berguna tentang emas untuk penyimpan baru: Anggap belian pertama anda (biasanya 1 gram atau 1 dinar) sebagai proses pembelajaran, bukannya untuk terus menjana keuntungan kilat.

Ramai orang silap faham. Mereka beli 1 gram hari ini, esok mereka harap harga naik mendadak untuk jual. Itu bukan menyimpan, itu spekulasi.

Cerita untung besar biasanya adalah untuk mereka yang menyimpan dalam kuantiti besar seperti jongkong 100 gram ke atas kerana peratusan selisih harga (spread) yang lebih rendah.

Bagi kita yang baru nak kumpul 1 gram sebulan, kita sebenarnya sedang belajar erti menyimpan. Kita sedang melatih otot disiplin kewangan kita.

4. Adjust Halatuju Selepas Bermula

Apabila anda sudah mempunyai gram pertama, hijab ilmu emas anda akan mula terbuka. Anda akan mula nampak jalan yang lebih luas.

Anda akan mula faham tentang zakat emas, tentang cara manipulasi emas melalui Ar-Rahnu secara bijak, dan tentang bagaimana emas boleh menjadi aset pusingan untuk perniagaan.

Waktu anda sudah mula ‘nampak’ tentang kehebatan emas ini, barulah anda adjust semula halatuju serta tindakan yang perlu diambil untuk mencapai matlamat kewangan anda dengan lebih cepat.

Kesimpulannya,

Emas bukan sekadar logam kuning yang cantik, tapi ia adalah instrumen yang mendidik kita supaya lebih berdisiplin dengan wang. Jangan terlalu pening memikirkan harga dunia yang turun naik setiap saat. Fokus kepada menambah gram simpanan anda.

Ingat, orang yang ada emas belum tentu rugi kalau harga turun, tapi orang yang langsung tak ada emas memang tak akan rasa untungnya bila harga naik.

Irfan Sa’id,
Semoga bermanfaat untuk perjalanan kewangan anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *