Kad kredit dan simpanan emas; Dua perkara yang sering dibincangkan bila kita mula bercakap tentang pengurusan kewangan. Di satu sudut, kad kredit menawarkan kemudahan untuk berbelanja sekarang dan bayar kemudian.
Dari sudut pandang yang lain, simpanan emas memberi kita peluang untuk melabur dalam aset yang stabil dan bernilai sepanjang masa.
Jadi, persoalannya: mana lebih menguntungkan?
Dalam artikel ini, kita akan lihat dari pelbagai sudut termasuklah impak faedah kad kredit, potensi keuntungan emas, risiko dan cara terbaik untuk menggabungkan kedua-duanya dalam strategi kewangan kita.
Jom mulakan dengan satu bahagian penting yang ramai terlepas pandang; impak faedah kad kredit. Bagaimana kos ini boleh mempengaruhi kewangan jangka panjang kita?
Analisa Impak Penggunaan Kad Kredit
Kita semua tahu, kad kredit bukan sahaja memberi kita peluang untuk berbelanja lebih mudah, tetapi juga boleh menjadi perangkap jika tak diuruskan dengan baik. Satu faktor penting yang perlu kita fahami adalah kos faedah.
Bila kita guna kad kredit untuk membuat pembelian dan gagal membayar sepenuhnya, bank akan mengenakan caj faedah ke atas baki yang belum dibayar. Caj ini selalunya sekitar 15% hingga 18% setahun.
Ya, itu boleh jadi jumlah yang besar dalam jangka panjang.
Bayangkan kita berhutang RM5,000 pada kad kredit dengan kadar faedah 18% setahun. Jika kita hanya buat bayaran minimum setiap bulan, hutang ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Malah, jumlah faedah yang kita perlu bayar boleh mencecah ribuan ringgit!
Pada masa yang sama, nilai simpanan kita dalam emas mungkin meningkat, tetapi kos faedah yang tinggi dari kad kredit ini boleh mengikis keuntungan simpanan emas yang kita ada.
Bagaimana Faedah Kad Kredit Mengurangkan Simpanan Kita
Kos faedah kad kredit tidak hanya mengurangkan jumlah duit yang kita ada untuk disimpan, tetapi juga boleh menghalang kita daripada melabur lebih dalam emas atau aset lain.
Apabila kita sibuk membayar faedah bulanan yang tinggi, peluang untuk melabur lebih banyak dalam simpanan emas hilang.
Duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli emas, yang boleh meningkat nilai dalam jangka panjang, kini diserap oleh faedah kad kredit. Ini menyebabkan kita kehilangan potensi pertumbuhan yang lebih baik.
Contohnya, jika kita bayar RM500 sebulan untuk membayar faedahnya sahaja, kita kehilangan peluang untuk membeli emas dengan jumlah yang sama.
Lebih teruk lagi, jika harga emas naik, kita bukan sahaja tak dapat menikmati keuntungan, tetapi kita juga terpaksa terus membayar faedah yang semakin membebankan.
Jadi, faedah kad kredit ini bukan sahaja kos kewangan, tetapi juga kos peluang yang kita hilang untuk melabur.
Ada Caj Lain Yang Terlibat!
Kos faedah adalah salah satu kos paling ketara, tetapi bukan satu-satunya kos yang perlu kita risaukan bila guna “credit card”.
Terdapat juga kos lain seperti yuran tahunan, caj lewat bayar, dan caj pengeluaran tunai. Semua kos ini boleh menambah beban kewangan kita, dan jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi satu lingkaran hutang yang sukar untuk keluar.
Yuran tahunan, misalnya, mungkin kelihatan kecil, sekitar RM100 hingga RM300 setahun. Tetapi jika kita tidak bijak menggunakannya, yuran ini menjadi beban tambahan.
Caj lewat bayar pula boleh menyebabkan kita dikenakan penalti tambahan, dan caj pengeluaran tunai selalunya lebih tinggi berbanding pembelian biasa.
Jadi, setiap kali kita gunakan kad kredit, kita perlu ingat bahawa ada pelbagai kos yang tersembunyi yang boleh memberi kesan kepada kewangan kita.
Artikel lain yang bermanfaat untuk rujukan anda.
Bandingkan dengan Simpanan Emas
Berbanding dengan kos faedah kad kredit, simpanan emas tidak memerlukan sebarang pembayaran faedah.
Malah, emas adalah aset yang tidak “menuntut” apa-apa dari kita. Kita hanya perlu simpan dan biarkan nilainya berkembang secara semula jadi.
Emas juga tidak datang dengan caj tahunan, yuran tersembunyi, atau penalti jika kita tak menyimpan lebih banyak.
Itulah kelebihan melabur dalam emas, ia memberi kita kestabilan dan perlindungan kewangan tanpa sebarang kos yang membebankan.
Tambahan lagi, emas adalah aset yang terkenal sebagai pelindung inflasi. Dalam keadaan ekonomi tidak stabil, nilai emas cenderung untuk naik.
Dan ia memberi kita lebih banyak keuntungan berbanding sekadar menyimpan wang dalam akaun bank atau membayar faedah kad kredit.
Rancang Kewangan Kita Sebaiknya
Jadi, apa yang boleh kita simpulkan di sini? Kos faedah Credit Card boleh menjadi musuh utama dalam usaha kita untuk membina kekayaan jangka panjang.
Setiap ringgit yang kita bayar sebagai faedah adalah ringgit yang hilang untuk pelaburan yang lebih berpotensi seperti simpanan emas.
Jadi, langkah terbaik adalah uruskan penggunaannya dengan bijak. Elakkan bayar faedah yang tinggi dan cuba fokus pada membina aset seperti emas yang boleh memberi keuntungan dalam jangka panjang.
Sekiranya kita bijak mengimbangi penggunaan Credit Card dan melabur dalam emas, kita boleh menikmati kedua-duanya sekaligus, tanpa perlu berdepan dengan risiko kewangan yang besar.
Lebih penting lagi, kita boleh memastikan kewangan kita berada dalam keadaan yang lebih sihat dan mantap untuk masa hadapan.