Beli Atau Sewa Rumah? Hidup zaman sekarang memang penuh dengan dilema, terutama bila bercakap pasal rumah. Soalan ini bukan saja bermain dalam kepala anak muda, tapi juga jadi perbualan keluarga masa kenduri!
Jom kita bincang santai-santai dan cari jawapan yang sesuai untuk korang.
Fakta: Orang Luar Negara Ramai Pilih Sewa
Pernah tak korang dengar cerita orang luar negara? Rata-rata mereka lebih suka menyewa berbanding membeli rumah. Kenapa? Sebab mereka hargai fleksibiliti. Boleh tukar lokasi kerja tanpa pening kepala nak jual rumah.
Ini bukti yang orang German lebih suka menyewa dari mempunyai rumah sendiri.
Tapi, kita dekat Malaysia lain sikit. Bagi orang ramai, beli rumah adalah simbol pencapaian hidup. Padahal, tak salah pun kalau kita pilih menyewa dulu sambil kumpul aset cara lain.
Sewa rumah boleh jadi langkah bijak kalau lokasi kerja korang berubah-ubah. Contohnya, kerja dekat KL tapi masih nak beli rumah di Seremban. Sewa saja dekat tempat kerja korang, jimat masa dan tenaga.
Simpan duit beli rumah dekat kampung ke, untuk persaraan nanti. Tengok beberapa faktor di bawah yang anda perlu pertimbangkan sebelum beli rumah.
Lokasi Rumah, Kos Hidup, Dan Keperluan Kewangan
Kos hidup tinggi, jangan ikut kawan.
Bila nak buat keputusan besar macam beli rumah, jangan ikut cakap kawan. Fokus pada kewangan sendiri. Tahu tak, loan RM250,000 selama 35 tahun cecah RM1,000 sebulan? Dah kira kemampuan korang? Kalau belum, jangan main agak-agak je.
Tanya diri sendiri, mampu ke komitmen ni? Kalau nak beli rumah, jangan lupa faktor tambahan macam insurans, cukai, dan kos selenggara.
Peraturan asas: perbelanjaan untuk rumah (sewa atau beli) tak patut lebih 30% daripada gaji bulanan. Kalau rasa tak mampu, tak salah untuk menyewa dulu atau tinggal dengan keluarga sementara nak simpan duit.
PJJ Dan Realiti Hidup Berpasangan
Hubungan jarak jauh (PJJ) pun satu isu penting. Bayangkan suami kerja KL, isteri di Shah Alam. Kalau semua duit habis untuk bayar rumah, nak simpan untuk masa depan macam mana? Kadang-kadang, sewa satu rumah di tengah-tengah lokasi adalah penyelesaian lebih baik.
Rumah Pertama Bukan Semestinya Rumah Terakhir
Korang perlu ingat, rumah pertama yang korang beli tak semestinya rumah terakhir. Nak beli rumah, jangan fikir besar terus. Mulakan dengan rumah kecil dulu. Lepas dah stabil atau berkahwin nanti, barulah fikir untuk upgrade rumah yang lebih besar.
Dan sebelum nak beli rumah besar-besar, pertimbangkan perkara ini. Daripada beli satu rumah harga RM360,000, lebih baik beli dua apartmen kecil berharga RM180,000 setiap satu. Korang boleh duduk satu, lagi satu buat duit dengan penyewaan. Bijak, kan?
Kenapa Pilih Kalau Boleh Buat Kedua-Duanya Sekali?
Kenapa perlu rasa tersepit antara pilihan beli atau sewa rumah? Jawapannya, boleh saja buat dua-dua kalau bijak rancang kewangan. Contohnya, korang sewa rumah kecil dekat bandar untuk dekat dengan kerja, tapi pada masa sama beli rumah kecil di luar bandar untuk pelaburan.
Lebih menarik, korang boleh beli rumah kecil untuk disewakan. Duduk bilik paling kecil, tapi bilik lain bagi penyewa. Korang bukan saja ada tempat tinggal, malah dapat duit sewa setiap bulan. Bijak, kan?
Pilihan Bijak Untuk Masa Depan
Sewa pun ada kelebihannya. Duit lebihan boleh dilaburkan di tempat lain – mungkin hartanah lain atau pelaburan emas dan lain-lain. Bagi yang baru mula bekerja, menyewa adalah cara terbaik untuk kumpul modal sambil kenal pasti keperluan sebenar.
Ini satu lagi tips penting kalau dah decide nak beli rumah!
Kalau nak beli rumah yang baru nak dibina (undercon), semak juga kredibiliti pemaju rumah tu. Kadang-kadang, rumah baru dibina ambil masa lama nak siap, bukan je bayar terus dapat kunci rumah. Jadi, risiko projek terbengkalai tu ada.
Kena berhati-hati.
Kesimpulan: Buat Keputusan Berdasarkan Kemampuan
Kesimpulannya, sama ada nak beli atau sewa rumah, sentiasa rancang berdasarkan kemampuan. Jangan terlalu ikut cakap orang atau headline berita. Fikirkan keperluan diri sendiri, perancangan jangka masa panjang, dan matlamat kewangan korang.
Buat keputusan yang bijak. Rumah tak ke mana, tapi kewangan korang yang kena mantap. Ingat, jangan sampai tersilap langkah dan bankrap di usia muda. Mana satu pilihan korang – nak beli atau sewa rumah?
Share pandangan korang di komen!
Irfan Sa’id,
25/11/2024.