Ramai yang bertanya kepada saya tentang SPayLater emas.
Soalannya lebih kurang begini.
“Kalau Public Gold tambah SPayLater, lagi mudah kan? Boleh lock harga emas dahulu.”
Pada pandangan pertama, cadangan ini memang nampak menarik. Kalau harga emas sedang rendah, kita boleh terus membuat pembelian dan bayar secara ansuran kemudian.
Tetapi selepas saya mendalami konsep simpanan emas dan beberapa rujukan syariah, saya mula faham mengapa kaedah seperti ini tidak sesuai untuk pembelian emas.
1. SPayLater Emas Melibatkan Isu Syariah
Perkara pertama yang perlu difahami ialah emas bukan seperti telefon, komputer riba atau televisyen. Emas merupakan barangan ribawi.
Dalam Islam, jual beli emas mempunyai syarat yang lebih ketat berbanding kebanyakan barangan lain. Antara syarat utama ialah:
- Serahan dan penerimaan (taqabudh)
- Tiada unsur riba
- Tiada penangguhan yang bercampur dengan kontrak hutang yang menimbulkan isu syariah
Sebab itu, transaksi emas memerlukan struktur yang berbeza daripada pembelian biasa.
2. Apa Kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan?
Saya turut merujuk Irsyad Hukum Siri Ke-638 yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai penggunaan Shopee PayLater.
Menurut penjelasan tersebut:
- Bayaran one-off dalam tempoh yang ditetapkan tidak mempunyai isu syariah sekiranya diselesaikan tepat pada waktunya.
- Namun bagi bayaran ansuran, terdapat isu syariah yang melibatkan:
- Caj pemprosesan (processing fee)
- Caj lewat bayar (late payment fee)
Sekiranya caj tersebut melebihi kos sebenar atau menjadi keuntungan daripada hutang, ia boleh termasuk dalam unsur riba.
3. Kenapa Konsep EPP Public Gold Berbeza?
Ramai menyamakan SPayLater dengan kemudahan Easy Payment Purchase (EPP) yang pernah ditawarkan oleh Public Gold. Sebenarnya kedua-duanya berbeza.
Konsep EPP menggunakan struktur Wa’d (janji membeli). Akad jual beli hanya berlaku apabila bayaran selesai dan emas diserahkan kepada pembeli.
Sebaliknya, konsep Buy Now Pay Later (BNPL) melibatkan pembiayaan daripada pihak ketiga sebelum pelanggan membuat bayaran balik secara ansuran.
Walaupun kemudahan EPP kini dihentikan sementara kerana volatiliti harga emas yang sangat volatile, konsep asasnya tetap berbeza daripada BNPL.
4. Simpan Emas Bukan Tentang Berhutang
Semakin lama saya belajar mengenai emas, semakin saya sedar satu perkara. Tujuan utama menyimpan emas bukan untuk mencari jalan paling mudah memiliki emas.
Sebaliknya, ia adalah proses membina aset secara berdisiplin. Ramai penyimpan emas memilih untuk menyimpan sedikit demi sedikit setiap bulan mengikut kemampuan masing-masing.
Pendekatan ini bukan sahaja lebih tenang, malah lebih selari dengan konsep simpanan jangka panjang. Pengalaman saya, EPP yang dulu pun hanya kenakan processing fee 10% apabila kita batalkan order.
Baki selebihnya akan dipulangkan semula ke akaun bank pelanggan. Namun, ramai juga yang Order Cancelled sebab terlupa buat bayaran bulan-bulan.
Bayangkan kalau guna pay later. Kalau lambat bayar, akan dikenakan interest, rekod kredit boleh terjejas, malah mungkin dihubungi pihak kutipan hutang jika tunggakan berlarutan.
Kesimpulan
Persoalan mengenai SPayLater emas sebenarnya bukan sekadar soal kemudahan pembayaran. Ia melibatkan aspek syariah, struktur kontrak dan falsafah menyimpan emas itu sendiri.
Sebagai penyimpan emas, saya lebih selesa menggunakan pendekatan yang mudah. Apabila ada lebihan wang, saya tambah gram. Kalau belum mampu, saya tunggu sehingga benar-benar bersedia.
Yang penting ialah membina aset secara konsisten, berdisiplin dan patuh syariah.
Irfan Sai’d,
Penulis info emas & kewangan Malaysia.


