“Bila patutnya aku nak jual simpanan emas aku ni?”
Soalan ini sering kali bermain di fikiran, terutamanya bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan logam mulia ini. Namun, sebelum kita terjun lebih dalam tentang teknikal harga, mari kita tanya diri sendiri: Kenapa kita nak jual harta kita?
Emas bukan sekadar perhiasan atau barangan hobi. Ia adalah aset yang berfungsi melindungi nilai wang kita daripada dimakan inflasi. Kenapa kita mahu melupuskan pelindung kekayaan kita dengan terburu-buru?
Terutamanya bagi penyimpan yang baru bermula sebulan dua, tiba-tiba sudah rasa tak sabar nak jual. Aihh, balik awalll kabo orang Ganu!
Menyimpan emas memerlukan kesabaran. Namun, memang akan tiba satu titik masa di mana menjual adalah pilihan yang bijak. Jadi, bila nak jual emas yang sebenarnya? Mari kita bedah satu per satu.
1. Bila Harga Emas Sudah Melonjak Tinggi (Profit Taking)
Sebab paling popular sudah tentu apabila harga emas dunia melonjak naik sehingga “ke langit”. Dalam istilah pelaburan, ini dipanggil profit taking.
Apabila harga semasa sudah jauh meninggalkan harga purata belian anda (purata kos), anda akan melihat keuntungan dalam bentuk capital gain.
Contohnya, jika anda membeli emas pada harga RM250/gram beberapa tahun lepas, dan hari ini harganya mencecah RM380/gram, perbezaan RM130 itu adalah keuntungan bersih anda (setelah ditolak spread).
Tetapi ingat, jangan jual semua sekali jika tiada keperluan mendesak. Jual sekadar perlu untuk merasa hasil titik peluh anda, atau jika anda merasakan harga sudah mencapai tahap tertinggi sebelum ia melakukan pembetulan (correction).
2. Mencapai Matlamat Kewangan (Target Achieved)
Setiap simpanan emas harus ada matlamat. Adakah ia untuk deposit rumah? Dana pendidikan anak? Atau simpanan untuk pergi haji?
Apabila matlamat tersebut sudah tercapai, itulah saat yang paling tepat untuk menjawab persoalan bila nak jual emas.
Contohnya, jika anda menyimpan emas selama 5 tahun untuk mengumpul RM50,000 deposit rumah pertama, dan nilai emas anda sudah mencecah angka tersebut, jangan ragu-ragu lagi. Jual dan tukarkan ia kepada aset hartanah.
Ini dinamakan sebagai asset swap, menukarkan satu aset yang baik (emas) kepada satu aset lain yang juga berkembang (hartanah).
3. Strategi “Exit” Untuk Bebas Hutang
Bagi anda yang impikan hidup tenang tanpa dikejar pemungut hutang, emas boleh menjadi talian hayat. Hutang-hutang dengan kadar faedah tinggi seperti kad kredit atau pinjaman peribadi adalah parasit kepada kewangan anda.
Jika nilai emas yang anda simpan mampu melangsaikan hutang tersebut secara penuh, lakukanlah. Tiada gunanya menyimpan berkilo emas tetapi setiap bulan pening kepala memikirkan bunga bank yang semakin mencanak. Hidup bebas hutang adalah kekayaan yang sebenar.
4. Keadaan Kecemasan (Emergency Fund)
Emas adalah aset yang sangat cair (liquid). Maknanya, ia sangat mudah ditukarkan kepada tunai. Jika berlaku musibah seperti kehilangan pekerjaan, kerosakan kenderaan yang besar, atau bil perubatan yang tidak dijangka, emas adalah penyelamat.
Daripada anda meminjam daripada ‘Ah Long’ atau membuat pinjaman bank yang baru, lebih baik anda cairkan simpanan emas anda. Inilah fungsi emas sebagai “insurans” terakhir dalam sistem kewangan peribadi anda.
Jangan Jual Sebab “Panik”
Satu kesilapan besar penyimpan emas baru ialah menjual kerana panik melihat harga turun sedikit. Ingat, harga emas dalam jangka masa pendek memang akan turun naik (volatile).
Tetapi dalam jangka masa panjang (3-5 tahun ke atas), trend emas sentiasa menaik mengikut susut nilai mata wang.
Jika anda jual hanya kerana takut harga turun lagi, anda sebenarnya sedang merealisasikan kerugian (realized loss). Penyimpan emas yang berilmu akan tersenyum bila harga turun, kerana itu adalah masa terbaik untuk menambah simpanan pada harga “diskaun”.
Ilmu Adalah Kunci
Mengapa ada orang tenang bila simpan emas dan ada yang gelisah setiap hari tengok graf? Jawapannya adalah ILMU.
Apabila anda ada ilmu, anda tahu bahawa emas adalah simpanan jangka masa panjang. Anda tahu cara mengira spread, cara memantau harga dunia, dan cara memilih tempat jualan semula yang memberikan harga tinggi.
Bila ada ilmu, segala tindakan anda akan disusuli dengan keyakinan yang amat tinggi. Anda tidak akan mudah goyang dengan khabar angin atau spekulasi kosong.
Kesimpulannya
Bila nak jual emas bukan hanya bergantung kepada graf harga di skrin telefon anda, tetapi ia bergantung kepada strategi kewangan peribadi anda.
Sama ada untuk ambil untung, beli rumah, atau langsai hutang, pastikan setiap gram yang anda lepaskan itu mempunyai tujuan yang jelas.
Ingat kata saya. Jual emas pun ada waktunya, dan waktu terbaik itu ditentukan oleh matlamat dan ilmu di dada anda.
Irfan Sa’id,
Penyimpan emas yang tenang adalah penyimpan yang berilmu.


