Bolehkah Jual Emas di Ar Rahnu? Ini Jawapan Paling Jelas

“Bolehkah jual emas di Ar Rahnu?” Soalan ini kerap bermain di fikiran ramai orang yang perlukan wang tunai segera dan mempunyai emas di tangan. Maklumlah, Ar-Rahnu memang terkenal di Malaysia sebagai tempat pajak gadai berlandaskan syariah yang mudah dan cepat.

Tapi adakah Ar-Rahnu boleh dijadikan tempat untuk menjual emas secara langsung? Jom kita kupas dengan santai dan bagi jawapan paling jelas untuk persoalan ini.

Apa Itu Ar-Rahnu dan Bagaimana Ia Berfungsi?

Ar-Rahnu ialah sistem pajak gadai Islam yang patuh syariah. Konsepnya mudah: kita cagarkan emas atau barangan kemas sebagai jaminan (collateral) untuk mendapatkan pinjaman tunai segera.

Pihak Ar-Rahnu akan menyimpan emas tersebut dan memberi sejumlah wang (biasanya sekitar 70% hingga 80% daripada nilai emas itu) sebagai pinjaman.

Bezanya dengan pajak gadai konvensional, Ar-Rahnu tidak mengenakan faedah (interest) atas pinjaman. Sebaliknya, mereka kenakan upah simpan iaitu bayaran perkhidmatan penyimpanan emas yang cajnya berpatutan mengikut tempoh simpanan (contoh: sekitar RM0.50-RM1.50 sebulan bagi setiap RM100 nilai emas, bergantung institusi).

Tempoh gadaian selalunya 6 bulan (boleh dilanjutkan jika bayar upah simpan), dan sepanjang tempoh itu kita boleh tebus balik emas dengan membayar jumlah pinjaman beserta upah simpan.

Kalau tak ditebus selepas tempoh tamat, emas akan dilelong oleh pihak Ar-Rahnu secara terbuka.

Hasil lelongan akan digunakan untuk bayar baki pinjaman dan kos. Lebihan (jika ada) diberi balik kepada pemilik asal. Ar-Rahnu popular sebab ia mesra pengguna.

Prosesnya cepat (kadang 15-30 minit saja), tak perlu pemeriksaan kredit, dan patuh syariah, jadi tiada riba.

Sebagai ringkasan: Ar-Rahnu bukan kedai emas untuk jual beli biasa, tapi tempat untuk gadai emas (dapatkan pinjaman bercagarkan emas) dengan prinsip Islamik.

Namun, adakah ini bermakna kita tak boleh langsung jual emas di Ar-Rahnu? Jom tengok lebih lanjut.

Bolehkah Jual Emas di Ar-Rahnu? (Jawapan & Proses Sebenar)

Secara tradisionalnya, Ar-Rahnu bukanlah tempat untuk “menjual” emas kerana fungsi utamanya adalah untuk gadaian (pinjaman bercagar).

Kalau anda pergi ke kaunter Ar-Rahnu di bank atau koperasi dan cakap nak jual emas, kebiasaannya pegawai akan jelaskan bahawa mereka hanya boleh terima emas untuk pajakan (gadai), bukan pembelian terus.

Ini bermakna, secara langsungnya, emas anda tak boleh dijual terus di Ar-Rahnu. Mereka tak akan hulurkan duit membeli emas anda seperti kedai emas buat.

Sebaliknya, mereka cuma boleh pegang emas tu sebagai cagaran pinjaman.

Namun, zaman sekarang ada perkembangan baharu. Sesetengah institusi Ar-Rahnu mula menawarkan khidmat membeli emas terpakai daripada pelanggan.

Contohnya, Pos ArRahnu (Ar-Rahnu di Pejabat Pos) dan Ar-Rahnu YaPEIM secara terbuka mempromosikan perkhidmatan belian emas daripada orang ramai.

Banner promosi POS ArRahnu yang menawarkan perkhidmatan gadai emas, jual beli emas terpakai, simpanan dan cucian.
Banner promosi POS ArRahnu yang menawarkan perkhidmatan gadai emas, jual beli emas terpakai, simpanan dan cucian.

Beza Jual Emas vs Gadai Emas

Ramai yang keliru antara jual emas dan gadai emas, terutama bila pertama kali berurusan dengan Ar-Rahnu. Jom kita tengok perbezaannya dengan santai:

Jual Emas

Anda menjual emas kepada pembeli (contohnya kedai emas, pembeli peribadi, atau Ar-Rahnu yang tawarkan khidmat belian). Pembeli akan bayar tunai penuh ikut nilai semasa emas (tolak sedikit kos upah atau kualiti kalau emas perhiasan terpakai).

Lepas jual, emas itu bukan milik anda lagi. Contohnya, kalau anda jual gelang emas 20 gram di kedai emas, kedai akan timbang dan bayar ikut harga emas terpakai (katakan RMX/gram).

Anda dapat 100% nilai tunai (RMX * 20g, tolak komisen kedai mungkin). Selesai, tak ada proses lain.

Bolehkah Jual Emas di Ar Rahnu? Ini Jawapan Paling Jelas
Gold bar 50g keluaran Public Gold

Gadai Emas (Pajak)

Anda tidak menjual, tapi mencagarkan emas di Ar-Rahnu untuk pinjaman tunai sementara. Ar-Rahnu bagi pinjam sekitar 70-80% dari nilai emas, bukan 100%.

Contoh, gelang 20g yang sama mungkin dinilai RM5,000, anda dapat pinjaman ~RM4,000 sahaja.

Emas masih milik anda tetapi dipegang Ar-Rahnu. Anda kena bayar sedikit caj bulanan (upah simpan) sepanjang emas di sana. Kemudian anda boleh tebus balik emas dengan membayar jumlah pinjaman + caj upah.

Jika tebus, anda dapat emas anda semula. Jika tak tebus sampai tempoh matang (contoh 6-10 bulan), emas akan dilelong.

Kalau dilelong, pinjaman anda dianggap langsai. Kalau hasil lelong > baki pinjaman, lebihan dibayar kepada anda, jika < pinjaman, biasanya anda tak perlu top-up (bergantung terma, tapi Ar-Rahnu biasanya tak tuntut hutang tambahan. Ini beza dengan pajak konvensional).

Mana satu yang bagus?

Itu bergantung tujuan anda. Kalau anda memang nak let go emas untuk dapat duit maksima, jual emas adalah pilihan tepat. Dapat tunai penuh, cepat, dan tak perlu fikir bayar balik.

Tapi kalau anda sayang emas tu dan cuma perlu duit sementara, gadai emas lebih baik. Anda dapat duit (walaupun tak penuh) dan boleh tebus balik emas kesayangan anda nanti.

Caj upah simpan Ar-Rahnu pun agak rendah berbanding faedah pinjaman biasa, jadi ianya solusi jangka pendek yang praktikal.

Hati-hati, kalau anda gadai tapi akhirnya tak mampu tebus, anda berisiko kehilangan emas tu juga (dilelong). Jadi sebelum gadai, nilai kemampuan tebus.

Kalau memang tak mampu tebus atau tak bercadang tebus, lebih baik jual sahaja terus supaya anda dapat jumlah lebih tinggi tanpa kena bayar caj.

Proses Lelong di Ar-Rahnu

Satu lagi cara “jual” melalui Ar Rahnu ialah dengan menggadai dan kemudian tak tebus. Jika anda gadai emas dan tak mampu tebus, akhirnya emas anda akan dilelong.

Dari satu sudut, ini bermakna emas tersebut “terjual” kepada pembida lelong. Tetapi, ini bukan cara penjualan yang ideal kerana:

  • Anda hanya dapat sejumlah tunai awal (70-80% dari nilai emas masa gadai). Baki nilai emas mungkin dapat selepas lelong (jika harga lelong tinggi melebihi pinjaman), namun proses lelong mengambil masa dan hasilnya tak menentu.
  • Anda juga perlu tanggung upah simpan selama emas dipegang Ar-Rahnu sebelum dilelong.

Jadi, kalau niat anda memang nak jual emas untuk dapat harga penuh, lebih baik jual terus di kedai emas atau kepada pembeli emas yang boleh bayar tunai penuh, daripada melalui proses gadai-lelong di Ar-Rahnu.

Ar-Rahnu elok untuk dapat pinjaman sementara tanpa hilang emas jika anda bercadang tebus balik. Kalau memang tak nak tebus (maksudnya nak jual), terus saja jual.

Institusi Ar-Rahnu & Jenis Emas Yang Diterima (Apa Boleh Gadai atau Jual)

Setiap institusi Ar-Rahnu mungkin ada polisi berbeza tentang jenis emas yang mereka terima untuk gadaian (dan juga pembelian, jika ada). Sebelum anda bawa emas ke mana-mana Ar-Rahnu, elok tahu serba-sedikit peraturan mereka:

Ar-Rahnu Bank Rakyat / Ar-Rahnu X’Change

Ar-Rahnu Bank Rakyat / Ar-Rahnu X’Change

Ini antara Ar-Rahnu popular di bank. Dahulunya Bank Rakyat hanya terima barang kemas (emas perhiasan 916, 999 dll) untuk gadai. Kini, Ar-Rahnu Bank Rakyat boleh terima jongkong emas (gold bar) dan syiling/dinar emas tertentu, asalkan ada sijil ketulenan yang diiktiraf.

Contohnya, gold bar jenama Public Gold, PAMP Suisse, atau Dinar Kelantan biasanya diterima dengan syarat bawa sijil. Walau bagaimanapun, Bank Rakyat tidak membeli emas secara terus – perkhidmatan mereka terhad kepada pajak gadai sahaja.

Ar-Rahnu Pos Malaysia (Pos ArRahnu)

Pos Malaysia melalui kerjasama dengan Bank Muamalat telah meluaskan cawangan Ar-Rahnu di pejabat pos. Pos ArRahnu menerima barang kemas dan juga jongkong atau dinar emas untuk gadaian.

Purata minimum ketulenan yang diterima ialah 18K (75%) ke atas. Bahkan emas berpermata pun diterima (mereka akan tolak berat permata semasa penilaian). Uniknya, Pos ArRahnu juga menawarkan khidmat beli emas terpakai.

Ar-Rahnu YaPEIM

YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) mengendalikan banyak Ar-Rahnu di seluruh negara.

Untuk gadaian, Ar-Rahnu YaPEIM hanya terima emas berbentuk barang kemas sahaja (termasuk emas putih 18K, dan emas perhiasan 750/835/916/999).

Mereka tidak menerima gold bar atau syiling emas untuk gadai kerana polisi “barang kemas sahaja” kecuali brand Gold Bar YaPeim.

Bolehkah Jual Emas di Ar Rahnu- Beberapa institusi Ar-Rahnu yang ada menjadi Business Partner Public Gold
Beberapa institusi Ar-Rahnu yang ada menjadi Business Partner Public Gold

Ar-Rahnu Bank Islam (ARBI)

Bank Islam turut ada skim Ar-Rahnu sendiri (dipanggil ARBI). ARBI menerima semua jenis emas untuk gadaian, termasuk gold bar dan syiling, dengan syarat mesti bawa sijil ketulenan (jika emas jongkong/dinar).

Jadi gold bar Public Gold, Maple Leaf coin, etc, boleh digadai di ARBI selagi ada sijil. Tetapi, Bank Islam tidak membeli emas anda secara langsung (tiada servis buy-back di kaunter Ar-Rahnu mereka).

Mereka strictly untuk pajak sahaja, sama seperti Bank Rakyat.

Ar-Rahn Kelantan (Permodalan Kelantan Berhad)

Di Kelantan, Ar-Rahnu dikenali meluas sebagai Ar-Rahn dan dikendalikan oleh PKB serta agensi lain. Di Ar-Rahn Kelantan, emas Public Gold dalam seal pun diterima tanpa perlu buka seal atau ujian ketulenan melampau (mereka familiar dengan jenama tersebut).

Mereka terima barang kemas, gold bar, dinar. Agak fleksibel dan mesra pelanggan. Upah simpan juga antara terendah. Kebanyakan Ar-Rahnu koperasi/persendirian di Pantai Timur cenderung terima pelbagai bentuk emas asalkan tulen.

Ar-Rahnu Lain (Koperasi/Agensi)

Terdapat banyak lagi penyedia Ar-Rahnu seperti Ar-Rahnu Ekspress (oleh Habib Jewels), Ar-Rahnu koperasi (KOPUTRA, KOJADI etc.), Ar-Rahnu MAIDAM (Terengganu), Ar-Rahnu TEKUN dan sebagainya.

Ada yang terima gold bar & dinar (biasanya Ar-Rahnu koperasi swasta, Ar-Rahnu ekspress. Contohnya. Ar-Rahnu MAIDAM Terengganu terima semua termasuk syiling 0.5 gram!).

Ada yang hanya terima barang kemas sahaja (contoh: beberapa koperasi kecil mungkin terhad kepada barang kemas tradisional sahaja).

Minimum berat/nilai: Sesetengah Ar-Rahnu ada had minimum. Contoh, kalau nilai emas terlalu rendah (RM50 contohnya), mereka mungkin tak proses.

Umumnya nilai marhun minimum sekitar RM100-RM150. Jadi, gold bar kecil bawah 1 gram mungkin ditolak sebab nilainya terlampau rendah.

Tips: Sebelum ke Ar-Rahnu pilihan anda, boleh hubungi atau semak laman web mereka untuk tahu jenis emas diterima. Ini dapat elak perjalanan sia-sia.

Bolehkah Jual Emas di Ar Rahnu- Beberapa institusi Ar-Rahnu yang ada menjadi Business Partner Public Gold
Beberapa institusi Ar-Rahnu yang ada menjadi Business Partner Public Gold

Alternatif Jika Tak Boleh Jual Emas di Ar-Rahnu

Katakanlah anda dah cuba tanya Ar-Rahnu berhampiran, tapi mereka tak terima pembelian emas (hanya gadai sahaja). Apa alternatif lain untuk anda dapatkan tunai daripada emas tersebut? Jangan risau, banyak jalan lain di Malaysia untuk jual emas dengan selamat:

Jual kepada Syarikat Pelaburan Emas:

Contohnya, Public Gold membeli emas terpakai daripada sesiapa saja, bukan pelanggan mereka sahaja. Mereka ada harga “PG Buy” di laman web yang kemas kini setiap hari.

Anda boleh jual gold bar atau dinar (walau jenama lain) kepada mereka. Cuma, jika emas itu bukan keluaran syarikat tersebut, mereka mungkin kategorikan sebagai used gold dan bayar sedikit kurang. Kelebihannya, syarikat begini telus dengan harga dan dipercayai.

Jual kepada Pembeli Persendirian:

Ada komuniti di Facebook atau Instagram (group jual beli emas) di mana orang sanggup beli emas pre-loved terus dari anda.

Kadang-kadang, mereka sanggup bayar lebih tinggi dari harga kedai emas sebab mereka elak margin kedai. Kalau anda rajin, boleh post di group “Jual Beli Emas Terpakai” misalnya.

Pastikan urus niaga secara selamat. Jumpa di tempat awam, tunai on the spot, atau jika online guna platform yang escrow. Kelebihan jual pada individu, anda mungkin dapat harga lebih hampir dengan spot price. Cuma perlu berhati-hati supaya tak kena scam.

Trade-In / Tukar Emas Lama:

Sesetengah kedai emas ada program trade-in, di mana emas lama anda boleh dijadikan sebahagian pembayaran untuk beli emas baru. Kalau niat anda nak upgrade barang kemas, ini alternatif bagus.

Nilai emas lama akan ditolak sedikit dan dijadikan kredit beli barang kemas baru. Anda dapat barang baru, emas lama diambil kedai. Bukan tunai, tapi alternatif dapatkan nilai.

Beberapa institusi Ar-Rahnu yang ada menjadi Business Partner Public Gold

Kesimpulan

Ar-Rahnu adalah tempat yang bagus untuk gadai emas, tapi bukan semua cawangan sedia membeli emas anda secara langsung. Bolehkah jual emas di Ar Rahnu?

Kebanyakannya tidak, kecuali beberapa yang menawarkan servis beli emas terpakai. Jika anda perlukan tunai dan mahu jual emas, pertimbangkan alternatif lain seperti kedai emas atau syarikat emas.

Dan jika anda masih nak simpan emas untuk jangka panjang tapi perlukan duit sekarang, pajak gadai Islam Ar-Rahnu tetap pilihan terbaik. Semoga pencerahan ini membantu anda membuat keputusan yang tepat berkenaan emas anda!

Begitulah.

Irfan Sa’id,
Ar-Rahnu bukan tempat simpan emas kecuali jika kita betul-betul tengah sesak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *