Crypto Gold dan Public Gold Malaysia merupakan antara persoalan yang semakin kerap ditanya oleh pelabur sejak kemunculan token digital bersandarkan emas.
Kedua-duanya menawarkan cara moden untuk memiliki emas melalui teknologi blockchain, manakala Public Gold pula kekal menjadi antara pilihan utama bagi mereka yang mahu menyimpan emas fizikal.
Bagi saya, persoalan paling penting bukanlah platform mana yang menawarkan harga paling murah. Sebaliknya, tanyakan dahulu kepada diri sendiri,
“Apakah sebenarnya yang saya miliki apabila membeli emas ini?”
Adakah anda benar-benar memiliki emas fizikal? Atau anda memiliki token digital yang nilainya disandarkan kepada emas?
Jawapan kepada soalan ini akan membantu menentukan instrumen yang paling sesuai dengan matlamat kewangan anda.
Apa Itu Public Gold Malaysia?
Public Gold Malaysia ialah sebuah syarikat logam berharga yang membolehkan pelanggan membeli dan mengumpul emas fizikal 999.9, termasuk jongkong emas, dinar, dan perak pelaburan.
Salah satu produk utamanya ialah Gold Accumulation Program (GAP) yang membolehkan pelanggan mula menyimpan emas serendah RM100.
Setiap pembelian akan ditukar kepada berat emas berdasarkan harga GAP semasa, dan apabila simpanan mencukupi, pelanggan boleh menebusnya kepada emas fizikal serendah 0.5 gram.
Bagi mereka yang mahu menyimpan emas secara konsisten setiap bulan, Public Gold turut menyediakan GAP Auto Debit. Konsepnya sama seperti Dollar Cost Averaging (DCA), di mana anda membeli emas secara berkala tanpa perlu meneka bila harga emas berada pada paras paling rendah.
Public Gold juga menyediakan PG Gold ATM yang membolehkan pelanggan membeli dan mengeluarkan emas fizikal secara terus. PG Gold ATM ini boleh didapati di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia, termasuk pusat beli-belah, bangunan pejabat dan lapangan terbang.
Rujuk post saya di sini untuk ketahui lebih lanjut tentang Public Gold Malaysia.
Apa Itu Crypto Gold?
Crypto Gold merujuk kepada aset dan token digital yang disokong oleh emas fizikal.
Pasaran ini pada asalnya dipelopori oleh token pemilikan terus seperti PAX Gold (PAXG) dan Tether Gold (XAUT), namun kini semakin berkembang dengan model infrastruktur kewangan baharu seperti USDKG.
Berdasarkan pandangan dan analisis mengenai ekosistem digital bersandarkan emas, ketiga-tiga token digital ini sebenarnya mewakili fungsi dan struktur rizab yang berbeza di rantaian blok (blockchain):
1) PAX Gold (PAXG)
- Diterbitkan oleh Paxos, token ini menawarkan hak pemilikan terus ke atas emas fizikal yang disimpan di bilik kebal London Good Delivery.
- Kelebihannya terletak pada aspek regulasi kerana ia beroperasi di bawah pengawasan ketat Jabatan Perkhidmatan Kewangan New York (NYDFS).
2) Tether Gold (XAUT)
- Mewakili pemilikan emas fizikal yang disimpan di bilik kebal Switzerland. Berbanding PAXG, XAUT lebih diintegrasikan dengan pasaran antarabangsa dan ekosistem kripto yang lebih luas melalui jenama besar Tether.
3) USDKG
- Menawarkan pendekatan yang sedikit berbeza. Daripada menjadi token pemilikan emas secara terus, USDKG berfungsi sebagai stablecoin tambatan Dolar AS yang dicagarkan sepenuhnya oleh rizab emas fizikal yang diaudit.
- Diterbitkan oleh entiti milik negara di bawah Kementerian Kewangan Kyrgyzstan, USDKG lebih memfokuskan kepada kegunaan penyelesaian kewangan (settlement infrastructure) dan pengurusan perbendaharaan.
Kesimpulannya, Crypto Gold bukan sekadar token spekulatif yang menjejaki harga pasaran seperti instrumen CFD. Ia mempunyai sandaran aset fizikal yang sebenar.
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pemilikan anda direkodkan secara digital di atas blockchain, dan anda tidak memegang bentuk fizikal emas tersebut di tangan anda sendiri.
6 Perbezaan Utama Crypto Gold vs Public Gold Malaysia
1. Hak Pemilikan
Inilah perbezaan paling besar. Apabila anda membeli emas fizikal melalui Public Gold atau menebusnya daripada GAP, anda benar-benar memiliki emas tersebut.
Anda boleh menyimpannya sendiri, mewariskannya kepada keluarga, atau menjualnya semula melalui kemudahan buyback.
Sebaliknya, Crypto Gold memberikan anda pemilikan terhadap token digital yang disandarkan kepada emas fizikal (atau dicagar dengan emas seperti USDKG).
Walaupun emas itu wujud, akses anda masih bergantung kepada penerbit, blockchain, dompet digital, dan platform pertukaran yang digunakan.
2. Risiko Pelaburan
Bagi Public Gold, risiko utama ialah turun naik harga pasaran, serta risiko kehilangan atau kecurian jika emas fizikal disimpan di rumah.
Crypto Gold pula mempunyai beberapa risiko tambahan seperti:
-
Risiko syarikat penerbit token
-
Risiko platform pertukaran (Exchange)
-
Kehilangan akses kepada dompet digital (wallet)
-
Keselamatan siber dan perubahan regulasi
3. Kos Terlibat
Public Gold mengenakan spread 6% – 9% (perbezaan harga belian dan jualan) serta kos upah bergantung kepada saiz produk. Sebagai balasan, anda menerima emas fizikal dan menikmati kemudahan buyback yang dijamin 100%.
Crypto Gold biasanya mempunyai spread yang lebih kecil dan tiada caj penyimpanan emas oleh penerbit.
Namun, pelabur perlu mengambil kira yuran transaksi platform, yuran rangkaian blockchain (gas fee), dan yuran penebusan yang tinggi jika mahu mendapatkan emas fizikal.
4. Kecairan Aset
Dari sudut kecairan, Crypto Gold mempunyai kelebihan. Ia boleh didagangkan 24 jam sehari melalui platform aset digital dan dipindahkan dengan pantas merentasi sempadan.
Sebaliknya, emas fizikal memerlukan proses jual beli di cawangan-cawangan syarikat. Selain itu, anda boleh jual kepada pihak ketiga yang berminat untuk membeli emas dari anda, sama ada saudara-mara, kenalan atau orang luar.
Namun bagi pelabur jangka panjang, kecairan yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan seseorang lebih mudah membuat keputusan berdasarkan emosi pasaran.
5. Penebusan Emas Fizikal
Proses penebusan bergantung kepada syarat ketat penerbit, termasuk kuantiti minimum yang besar dan lokasi penebusan di luar negara.
Sebagai contoh, pengeluar PAX Gold menetapkan syarat minimum 400 PAXG (bersamaan satu jongkong emas London Good Delivery seberat 12.4 kg yang bernilai jutaan ringgit) untuk penebusan fizikal secara rasmi.
Jika anda membeli PAXG atau XAUT melalui Luno, fungsi utama platform adalah untuk membeli, menjual dan menyimpan token. Luno tidak menawarkan penebusan emas fizikal secara terus kepada pengguna Malaysia.
Jika mahu mendapatkan emas fizikal, anda perlu mengikut proses yang ditetapkan oleh penerbit token atau rakan niaga mereka, yang mungkin memerlukan pemindahan token keluar daripada platform terlebih dahulu.
Bagi Public Gold pula, pelanggan boleh menebus simpanan GAP kepada emas fizikal dengan mudah di cawangan tempatan apabila jumlah gram mencukupi, serendah 0.5 gram.
Jika anda ingin beli emas fizikal dengan nilai jutaan ringgit pun tak ada masalah. Contohnya, customer saya yang beli 10 dinar sebanyak 170 pcs. Baca di sini: Pelabur Beli Emas Fizikal Bernilai RM4.5 juta.
6. Status Patuh Syariah
Bagi pelabur Muslim, status patuh Syariah adalah sangat penting. Terdapat perbezaan dari segi pengesahan rasmi antara kedua-dua instrumen ini.
Bagi Crypto Gold seperti PAX Gold, ia sering dikategorikan sebagai patuh Syariah oleh platform saringan kripto Islam (seperti Sharlife) kerana setiap token disokong 1:1 oleh emas fizikal secara spesifik.
Namun harus diingat, syarikat pengeluarnya (Paxos) tidak melantik mana-mana panel penasihat Syariah atau mempunyai sijil rasmi yang dipaparkan.
Sebaliknya, Public Gold mempunyai pengesahan yang lebih meyakinkan. Keseluruhan urus niaga emas fizikal dan juga Gold Accumulation Program (GAP) mereka disahkan dan dipantau secara rasmi oleh panel penasihat Syariah terkemuka iaitu Amanie Advisors.

Soalan Lazim (FAQ)
Adakah Crypto Gold benar-benar disokong oleh emas?
Ya. Projek terkemuka seperti PAX Gold, Tether Gold, dan USDKG mempunyai mekanisma audit di mana setiap token disokong oleh rizab emas fizikal (sama ada sebagai hak pemilikan atau sebagai cagaran nilai) yang disimpan secara profesional.
Adakah Public Gold lebih selamat?
Ia bergantung kepada definisi ‘selamat’. Public Gold mengurangkan pergantungan kepada sistem digital pihak ketiga kerana anda memiliki emas fizikal secara langsung.
Sebaliknya, Crypto Gold menawarkan kemudahan transaksi sempadan tanpa batas, tetapi hadir dengan risiko teknologi dan penerbit.
Mana lebih sesuai untuk simpanan hari tua?
Jika matlamat utama anda ialah mengumpul aset fizikal dan memelihara kekayaan untuk jangka masa panjang, Public Gold adalah pilihan yang lebih praktikal dan bebas dari manipulasi teknologi.
Kesimpulan
Tiada satu jawapan yang sesuai untuk semua orang. Kategori baharu aset hibrid seperti Crypto Gold dan pemilikan tradisional seperti Public Gold sebenarnya memenuhi keperluan profil dan selera risiko pelabur yang berbeza.
Saya sendiri masih memilih Public Gold kerana objektif saya ialah mengumpul emas fizikal gram demi gram, sehingga akhirnya dapat memegang aset tersebut di tangan sendiri.
Sebelum membuat keputusan, fahami dahulu apa yang anda beli, bagaimana aset itu disandarkan, dan risiko yang datang bersamanya.
Apabila anda memahami struktur pemilikan, barulah anda boleh memilih instrumen yang benar-benar selari dengan matlamat kewangan masa depan anda.
Mula Menyimpan Emas Fizikal Hari Ini!
Adakah anda sudah bersedia untuk mula membina tabungan emas anda sendiri? Anda boleh mulakan simpanan emas pertama serendah RM100 sahaja.
Klik di sini untuk mendaftar akaun Public Gold secara PERCUMA sekarang.
Irfan Said,
Penulis info emas & kewangan Malaysia.


