Hujung tahun lepas sampai awal tahun ini, saya masih ingat lagi macam mana harga perak 2026 naik dengan sangat agresif. Waktu itu memang ramai mula bercakap tentang silver.
Di China, perkembangan permintaan terhadap perak mula mendapat perhatian. Dekat media sosial pula, makin ramai berkongsi tentang kenaikan harga perak dan peluang yang mereka nampak.
Seperti biasa, bila harga sesuatu aset naik dengan laju, semakin ramai orang mula rasa nak beli. Benda ini bukan berlaku pada perak sahaja.
Saham, crypto, emas dan hartanah pun kita selalu nampak perkara yang sama. Waktu harga senyap, tak ramai peduli. Namun, bila harga dah naik tinggi, barulah semua orang mula bertanya.
Saya sendiri waktu itu banyak berkongsi tentang kenaikan harga perak. Saya tunjuk pergerakan harga dan cerita apa yang sedang berlaku dalam pasaran. Tetapi saya tak pernah push orang untuk beli silver.
Sebab saya tahu karakter perak.

Harga Perak 2026 Dan Mereka Yang Sudah Lama Mengumpul
Ada orang yang dah lama beli perak secara konsisten. Bertahun-tahun dia simpan. Mungkin sebelum itu dia rasa macam tak ada apa-apa pun berlaku. Harga bergerak, tetapi belum cukup agresif untuk buat orang ramai bercakap tentang silver.
Apabila masuk fasa kenaikan tempoh hari, orang yang dah lama kumpul inilah yang mula merasa. Mereka bukan baru beli sebab harga perak 2026 sedang naik. Sebaliknya, mereka dah kumpul sebelum orang ramai mula bercakap tentang silver.
Itu bezanya.
Waktu harga perak tengah naik agresif, saya nampak semakin ramai mula push orang beli. Silver, silver, silver. Seolah-olah harga akan terus naik tanpa berhenti. Namun, saya tak boleh buat macam itu kerana saya tahu karakter perak.
Kalau perak naik, dia memang boleh naik sangat tinggi. Tetapi apabila dia jatuh, penurunannya juga boleh berlaku dengan sangat agresif.
Sejarah dah tunjuk perkara ini berkali-kali.
Sejarah Perak Dah Tunjuk Perkara Yang Sama
Kita tak perlu pergi terlalu jauh untuk memahami karakter perak. Pada April 2011, harga perak pernah mencecah sekitar USD48.70 hingga hampir USD50 seauns.
Selepas mencapai kemuncak tersebut, harga perak memasuki fasa penurunan yang panjang dan akhirnya kembali ke kawasan belasan dolar dalam tahun-tahun berikutnya.
Data sejarah harga perak boleh dilihat melalui Macrotrends historical silver price chart.
Kitaran terbaru pula menunjukkan karakter yang hampir sama. Pada Januari 2026, harga perak mencecah paras tertinggi sekitar USD121.6 seauns. Namun, menjelang Julai, harganya sudah jatuh kira-kira 50% ke sekitar USD60.

Bayangkan. Daripada suasana semua orang bercakap tentang silver, tiba-tiba harga membuat pembetulan hampir separuh daripada paras tertinggi. Sebab itu saya selalu melihat perak sebagai opportunity metal.
Bukan bermaksud perak tak bagus. Malah, saya pernah menulis dengan lebih terperinci tentang perbezaan emas dan perak ketika krisis. Namun, strategi saya terhadap perak memang berbeza dengan emas.
Bagi saya, silver bukan aset yang perlu dikejar apabila semua orang dah mula bercakap tentangnya. Kalau memang kita percaya dengan perak dan faham risikonya, lebih baik kumpul secara konsisten.
Sedikit demi sedikit. Waktu orang tak bercakap, kita tetap simpan. Apabila fasa kenaikan datang, barulah kita merasa.
Kenapa Saya Panggil Perak Opportunity Metal
Perak mempunyai karakter yang unik kerana ia bukan sekadar logam berharga. Pada masa yang sama, perak juga digunakan secara meluas dalam sektor industri.
Oleh sebab itu, permintaan terhadap silver boleh dipengaruhi oleh sektor solar, elektronik dan pelbagai aplikasi teknologi.
Untuk 2026, Silver Institute menjangkakan permintaan pelaburan fizikal perak meningkat sekitar 20% kepada 227 juta auns.
Selain itu, pasaran perak global dijangka mencatatkan kekurangan bekalan untuk tahun keenam berturut-turut.
Walaupun begitu, permintaan industri dijangka turun sekitar 2% kepada 650 juta auns. Salah satu sebabnya ialah proses thrifting, iaitu pengilang cuba mengurangkan jumlah perak yang digunakan dalam produk tertentu.
Perubahan ini dapat dilihat terutamanya dalam sektor photovoltaic atau solar. Inilah sebabnya saya kata perak menarik.
Perak mempunyai isu bekalan yang menarik. Pada masa yang sama, permintaan pelaburan masih wujud dan kegunaannya dalam sektor industri terus memainkan peranan penting.
Namun, semua faktor ini juga menjadikan harga perak lebih sensitif terhadap perubahan dalam pasaran. Potensi naiknya besar. Turunnya pun boleh buat kita terdiam.
Sebab itu, kalau nak pegang perak, kita kena tahu kenapa kita membelinya.

Emas Pula Saya Lihat Dengan Cara Yang Berbeza
Sebaliknya, saya melihat emas dengan cara yang berbeza. Tujuan saya pegang emas bukan semata-mata untuk mengejar kenaikan harga paling tinggi dalam tempoh singkat.
Saya pegang emas sebagai long-term hold, iaitu aset yang saya lebih selesa simpan merentasi beberapa kitaran ekonomi.
Kalau nak melihat data harga emas untuk tempoh yang lebih panjang, World Gold Council Gold Price Data menyediakan rekod harga emas dalam pelbagai mata wang dan tempoh masa sejak 1978.
Apa yang lebih menarik bagi saya ialah bank-bank pusat sendiri masih melihat emas sebagai aset penting.
Dalam Central Bank Gold Reserves Survey 2026 oleh World Gold Council, 89% responden menjangkakan rizab emas bank pusat global akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Malah, 45% responden menjangkakan institusi mereka sendiri akan menambah rizab emas.
Pada April 2026 sahaja, bank-bank pusat kembali mencatat pembelian bersih emas selepas jualan bersih pada Mac, menurut data pembelian emas bank pusat World Gold Council.
Sebab itu cara saya melihat emas berbeza daripada perak.
Saya tak terlalu fikir sama ada emas akan naik 20% bulan depan. Sebaliknya, saya lebih fikir sama ada emas masih relevan sebagai penyimpan nilai untuk tempoh lima, sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.
Setakat ini, strategi saya masih sama. Saya kumpul gram.
Harga Perak 2026 Mengajar Kita Tentang FOMO
Kalau ada satu perkara yang saya belajar daripada harga perak 2026, ia adalah bagaimana cepatnya sentimen manusia berubah.
Waktu silver naik, ramai takut terlepas. Namun, apabila harganya jatuh, ramai pula takut membeli. Kadang-kadang asetnya masih sama dan asas pasarannya tidak berubah secara drastik.
Sebaliknya, emosi kita yang berubah mengikut warna carta. Hijau, kita berani. Merah, kita takut.
Sebab itu saya rasa penting untuk kita tentukan strategi sebelum fasa kenaikan datang. Kalau memang objektif kita adalah mengumpul perak, bina cara untuk mengumpul secara konsisten.
Jangan tunggu harga dah naik tinggi baru nak mula buat kajian tentang silver. Begitu juga dengan emas.
Kalau objektif kita adalah menyimpan kekayaan dalam jangka panjang, kita kena faham dahulu bagaimana emas berfungsi dan apa yang kita sebenarnya miliki.
Saya pernah berkongsi tentang isu ini dalam artikel emas digital, emas fizikal dan pelaburan emas bank. Ilmu datang dulu. Baru beli.
Kesimpulannya
Sebab itu bagi saya, emas dan perak tak boleh dilihat dengan strategi yang sama. Perak adalah opportunity metal. Emas adalah long-term hold.
Ini bukan bermaksud semua orang mesti ikut strategi saya. Setiap orang ada objektif kewangan dan kemampuan menerima risiko yang berbeza.
Ada orang memang selesa dengan turun naik harga perak dan sudah mengumpul silver bertahun-tahun. Bagus. Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang dia buat.
Apa yang saya lebih risau ialah apabila seseorang membeli hanya kerana harga sedang naik dan semua orang sedang bercakap tentang aset tersebut. Hari ini silver. Esok mungkin aset lain.
Akhirnya, kalau ada satu perkara yang saya belajar sepanjang melihat banyak kitaran pasaran, jangan tunggu satu aset naik sampai semua orang bercakap tentangnya baru kita rasa nak mula membeli.
Lebih baik kita faham apa yang kita simpan dan kumpul secara konsisten ikut kemampuan. Waktu pasaran senyap, kita ada strategi. Apabila pasaran mula bising, kita masih ada strategi.
Bagi saya, itu jauh lebih penting daripada cuba menjadi orang terakhir yang mengejar harga ketika semua orang sedang berlari ke arah yang sama.
Irfan Said,
Physical Gold Stacker & Gold Educator


