Harga Emas Naik Semakin Laju atau Tak?

Harga emas naik semakin laju

Harga emas sekarang naik semakin laju, atau ia cuma nampak semakin laju kerana kita melihat harganya dalam dolar AS?

Untuk menjawab persoalan ini, kita boleh lihat bagaimana emas mencapai beberapa paras harga penting sepanjang sejarah.

Menariknya, tempoh yang diperlukan untuk emas bergerak ke paras seterusnya memang semakin pendek.

Kronologi Harga Emas

Pada 1971, harga rasmi emas masih sekitar US$35 bagi setiap auns troy. Pada tahun tersebut, Presiden Richard Nixon mengumumkan penamatan kebolehtukaran dolar AS kepada emas untuk bank pusat asing, yang akhirnya membawa kepada keruntuhan sistem Bretton Woods dan pasaran emas yang lebih bebas.

Kemudian, pada 14 Mac 2008, harga emas buat pertama kali melepasi US$1,000/oz.

Selepas itu, emas memecahkan paras US$2,000/oz pada Ogos 2020, ketika dunia berdepan pandemik COVID-19, kadar faedah rendah dan aliran besar ke dalam emas serta ETF bersandarkan emas.

Daripada US$2,000, emas mengambil kira-kira 4½ tahun untuk melepasi US$3,000/oz pada Mac 2025. World Gold Council merekodkan tarikh tersebut sebagai 14 Mac 2025.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi lebih menarik.

Emas melepasi US$4,000/oz pada 8 Oktober 2025. Menurut World Gold Council, pergerakan daripada US$3,500 kepada US$4,000 hanya mengambil masa 36 hari.

Pada awal 2026 pula, emas meneruskan kenaikan sehingga mencapai rekod sekitar US$5,405/oz pada 29 Januari sebelum mengalami pembetulan yang ketara. Menjelang 4 September 2026, spot gold berada sekitar US$4,419/oz.

Kalau disusun secara kasar, ini gambaran bagaimana harga emas meningkat dari tahun ke tahun.

harga emas naik dari tahun ke tahun
Harga emas naik dari tahun ke tahun

Jelas, milestone harga emas semakin pantas dicapai. Tetapi ada satu perkara yang kita tidak boleh abaikan.

Adakah Emas Benar-Benar Semakin Mahal?

Apabila kita melihat emas dalam dolar AS, kita sebenarnya sedang melihat dua perkara pada masa yang sama: harga emas dan nilai dolar AS itu sendiri.

Harga emas global biasanya disebut dalam US dollar per troy ounce. Maka, apabila nilai dolar berubah, ia turut mempengaruhi bagaimana harga emas kelihatan apabila diukur dalam USD.

Namun, ini tidak bermaksud kenaikan emas boleh dijelaskan oleh kelemahan dolar semata-mata.

Harga emas juga dipengaruhi oleh kadar faedah, inflasi dan jangkaan inflasi, risiko geopolitik, permintaan pelaburan, aliran ETF serta pembelian bank pusat.

World Gold Council, misalnya, mengenal pasti permintaan pelaburan, ketidaktentuan geopolitik, kelemahan dolar dan risiko pasaran kewangan sebagai antara faktor utama yang menyokong kenaikan emas pada 2025.

Sebab itu, melihat harga emas dalam USD sahaja tidak memberikan gambaran penuh kepada penyimpan emas di Malaysia. Bagi kita, persoalan yang lebih praktikal ialah berapa nilai emas dalam RM?

Harga Dalam USD Berbeza Dengan Harga Dalam RM

Seorang penyimpan emas di Malaysia tidak membeli emas menggunakan dolar AS. Kita menggunakan ringgit.

Jadi, pulangan dalam ringgit dipengaruhi oleh dua komponen utama: perubahan harga emas dunia dan perubahan kadar tukaran USD/MYR.

Dalam keadaan emas naik dalam USD dan ringgit pula melemah berbanding dolar AS, harga emas dalam ringgit boleh meningkat lebih cepat daripada angka yang kita lihat dalam USD.

Sebaliknya, jika ringgit mengukuh dengan ketara, kenaikan harga emas dalam USD mungkin tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada kenaikan yang sama dalam RM.

Ini penting kerana dua orang pelabur di negara berbeza boleh melihat aset yang sama tetapi menerima pengalaman pulangan yang berbeza dalam mata wang masing-masing.

Jadi, apabila kita kata emas naik, kita perlu tanya: naik berbanding apa?

Mengapa Emas Semakin Cepat Mencapai Paras Baharu?

Salah satu sebabnya ialah asas harga itu sendiri semakin tinggi.

Kenaikan daripada US$35 ke US$1,000 memerlukan emas meningkat lebih daripada 28 kali ganda. Sebaliknya, daripada US$3,000 ke US$4,000, ia hanya memerlukan peningkatan sekitar 33%.

Jadi, semakin tinggi harga emas, semakin kecil kenaikan peratusan yang diperlukan untuk mencapai milestone US$1,000 seterusnya. Namun begitu, kelajuan kenaikan emas sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang luar biasa.

Pada 2025 sahaja, World Gold Council merekodkan 53 rekod tertinggi baharu bagi harga emas LBMA dan purata harga tahunan mencapai US$3,431/oz, meningkat 44% berbanding tahun sebelumnya.

Permintaan bank pusat juga kekal tinggi. Bank pusat dan institusi berkaitan mencatatkan pembelian bersih 863.3 tan pada 2025, jauh melebihi purata tahunan sekitar 473 tan bagi 2010–2021.

Angka tersebut tidak bermaksud bank pusat merupakan satu-satunya sebab harga emas naik.

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa permintaan terhadap emas datang daripada pelbagai kumpulan pelabur, bukan sekadar pembeli runcit.

Jadi, Apa Maknanya Untuk Penyimpan Emas Macam Kita?

Bagi saya, ini bukan alasan untuk mengejar harga emas kerana takut tertinggal. Emas memang boleh mencatatkan kenaikan yang besar, tetapi ia juga boleh mengalami pembetulan.

Malah, pada 2026 sendiri kita sudah melihat emas bergerak daripada paras rekod di atas US$5,400 kepada sekitar US$4,000 sebelum pulih sebahagian daripadanya.

Sebab itu, strategi penyimpan emas tidak sepatutnya bergantung kepada kemampuan meneka harga tertinggi atau harga terendah.

Jangan terlalu obses menunggu harga yang murah. Jangan pula membeli semata-mata kerana takut terlepas kenaikan.

Lebih penting ialah berapa banyak emas yang berjaya dikumpulkan secara konsisten mengikut kemampuan dan objektif kewangan sendiri.

Ringgit akan berubah. Harga emas akan berubah. Pasaran juga akan terus berubah. Namun, objektif penyimpan emas untuk jangka panjang bukanlah untuk meneka setiap pergerakan pasaran.

Objektifnya ialah membina dan memelihara kekayaan. Emas bukan skim cepat kaya. Ia cuma salah satu alat yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan portfolio dan memegang sebahagian daripada kekayaan dalam aset yang mempunyai ciri berbeza.

Kesimpulan

Jadi, emas sekarang memang mencapai paras harga baharu dengan lebih cepat berbanding beberapa dekad lalu. Kronologi US$1,000, US$2,000, US$3,000 dan US$4,000 menunjukkan perkara tersebut dengan jelas.

Namun, jangan berhenti pada angka USD. Sebagai penyimpan emas di Malaysia, kita juga perlu melihat kesan kadar pertukaran USD/MYR serta faktor yang mempengaruhi harga emas global.

Apa yang kelihatan seperti “emas semakin mahal” sebenarnya merupakan gabungan pelbagai faktor pasaran dan mata wang.

Sebab itu, jangan hanya tanya harga emas sekarang berapa. Tanya juga berapa gram emas yang anda sudah berjaya kumpulkan.

Bukan berapa RM. Berapa GRAM?

Irfan Said
Penulis info emas & kewangan Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!