Ramai melihat ASB dan emas sebagai dua pilihan yang perlu dipertandingkan apabila mempunyai lebihan tunai. Namun, persoalan yang lebih penting ialah fungsi yang kita mahu daripada wang tersebut.
Membandingkan kedua-duanya ibarat membandingkan kapak dengan tukul; masing-masing berguna untuk tujuan yang berbeza.
Begitu juga, sesuatu aset tidak semestinya lebih baik hanya kerana memberikan pulangan lebih tinggi dalam tempoh tertentu. Sebaliknya, ia perlu dinilai berdasarkan objektif kewangan dan peranannya dalam portfolio.
Dalam konteks ini, ASB boleh digunakan untuk membina kekayaan, manakala emas boleh membantu mempelbagaikan dan mengekalkan sebahagian kekayaan.
ASB Untuk Grow Wealth
Salah satu ciri yang menjadikan ASB menarik kepada pelabur ialah struktur dana harga tetapnya pada RM1 seunit.
Pulangan pula datang melalui pengagihan pendapatan yang diumumkan dari semasa ke semasa, dan kadarnya boleh berubah mengikut tahun. Bagi tahun kewangan 2025, ASB mengumumkan pengagihan sebanyak 5.75 sen seunit.
Namun, kadar ini bukan jaminan untuk tahun-tahun akan datang kerana pengagihan bergantung kepada prestasi dana dan keputusan pengurus.
Apabila pengagihan dibiarkan kekal dalam pelaburan, ia boleh membantu menghasilkan kesan compounding dari masa ke masa. Sebab itu ASB boleh menjadi salah satu alat untuk membina dan mengembangkan kekayaan dalam jangka panjang.
Dalam membuat perancangan kewangan, bagaimanapun, pelabur perlu melihat kadar sejarah sebagai rujukan dan bukan sebagai pulangan yang pasti pada masa hadapan.
Emas Mempunyai Fungsi Yang Berbeza
Berbeza dengan ASB, emas mempunyai mekanisme pulangan yang berbeza kerana ia tidak memberikan dividen atau faedah secara berkala.
Pulangan emas bergantung kepada perubahan harga pasaran selepas mengambil kira kos dan spread. Untuk penerangan lanjut tentang cara memiliki dan melabur dalam emas, lihat artikel Pelaburan Emas di Malaysia.
Dalam kerangka saya, emas boleh memainkan peranan untuk retain dan diversify wealth, khususnya sebagai aset yang mempunyai ciri pasaran berbeza daripada aset lain.
Namun, ini bukan bermaksud harga emas sentiasa naik. Emas tetap terdedah kepada turun naik pasaran dan faktor seperti kadar faedah, dolar AS serta perkembangan geopolitik.
Nak Pilih Mana Satu?
Perbandingan emas dan ASB sering dibuat terlalu simplistik dengan hanya melihat siapa yang memberikan pulangan lebih tinggi. Hakikatnya, kedua-dua aset ini mempunyai mekanisme pulangan dan fungsi yang berbeza.
ASB memberikan pulangan melalui pengagihan pendapatan yang boleh terus dilaburkan semula untuk menikmati kesan compounding, manakala emas pula bergantung kepada perubahan harga pasaran dan tidak menghasilkan pendapatan berkala.
Sebab itu, persoalan yang lebih tepat bukanlah “emas atau ASB mana lebih untung?”, tetapi “apa fungsi yang saya perlukan daripada wang ini?”
Risiko ASB Tetap Perlu Difahami
Walaupun ASB sering dianggap sebagai instrumen yang stabil kerana harga unitnya tidak berubah, kestabilan harga unit tidak bermaksud pulangan tahunan adalah tetap.
Perkara yang perlu diberi perhatian ialah kadar pengagihan pendapatan, yang boleh berubah mengikut tahun.
Sebagai contoh, kadar pengagihan ASB ialah 5.25 sen seunit bagi tahun kewangan 2023 sebelum meningkat kepada 5.75 sen bagi 2024 dan 2025.

Perubahan ini sendiri menunjukkan bahawa kadar pengagihan bukan sesuatu yang wajar dianggap sebagai pulangan tetap yang dijamin.
Bagi seseorang yang merancang kewangan untuk tempoh 10 atau 20 tahun, perkara ini sangat penting.
Anda tidak sepatutnya mengambil satu kadar sejarah dan menganggap ia akan kekal selama-lamanya apabila membuat unjuran kekayaan masa hadapan.
Lebih baik melihatnya sebagai satu andaian yang boleh berubah dan membina margin keselamatan dalam perancangan kewangan sendiri.
Emas Juga Mempunyai Risiko Tersendiri
Risiko emas pula datang dalam bentuk yang berbeza. Harga emas dipengaruhi oleh pelbagai faktor makroekonomi dan pasaran, termasuk perubahan jangkaan terhadap kadar faedah, kekuatan dolar AS, sentimen risiko dan perkembangan geopolitik.
Faktor-faktor ini boleh menyebabkan harga emas bergerak dengan cepat dalam tempoh yang singkat. Bagi emas fizikal, terdapat satu lagi perkara yang sering kurang diberi perhatian oleh pelabur baharu, iaitu spread antara harga beli dan harga jual.
Harga yang kita bayar ketika membeli emas tidak sama dengan harga yang biasanya kita terima apabila menjualnya semula.
jika seseorang membeli emas pada harga RM600 segram dan harga pasaran kemudian meningkat kepada RM620, kita tidak boleh terus menganggap bahawa pelabur tersebut telah memperoleh keuntungan RM20 segram.
Harga buyback dan spread perlu diambil kira sebelum keuntungan sebenar dapat ditentukan.
Atas sebab itu, pelabur emas bukan sahaja perlu memerhatikan harga emas hari ini, tetapi juga memahami bagaimana harga tersebut diterjemahkan kepada harga jual semula.
Beli Emas atau Simpan ASB?
Apabila seseorang bertanya sama ada lebih baik membeli emas atau menyimpan wang dalam ASB, saya biasanya akan mula dengan objektif kewangan, bukannya produk yang ingin dibeli.
Duit yang digunakan untuk membina dana kecemasan mempunyai fungsi yang berbeza daripada duit yang diperuntukkan untuk kekayaan jangka panjang.
Begitu juga seseorang yang baru memulakan kerjaya mempunyai keutamaan yang berbeza daripada individu yang sudah mempunyai portfolio pelaburan yang besar dan struktur kewangan yang lebih kukuh.
Oleh itu, tidak ada satu allocation yang boleh dianggap sesuai untuk semua orang.
Saya juga tidak melihat keperluan untuk mengatakan bahawa semua orang mesti membeli emas, sama seperti saya tidak menganggap semua orang perlu meletakkan seluruh lebihan tunai mereka dalam ASB.
Keputusan yang lebih baik biasanya datang apabila kita memahami apa yang hendak dicapai terlebih dahulu, kemudian memilih instrumen yang paling sesuai untuk menyokong objektif tersebut.
Mengapa Tidak Menggunakan Kedua-duanya?
Jika fungsi ASB dan emas sememangnya berbeza, tidak semestinya kedua-duanya perlu dilihat sebagai alternatif yang saling menyingkirkan.
Konsep ini sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa dalam pengurusan portfolio. Pelabur tidak semestinya membeli sesuatu aset kerana mereka percaya aset tersebut akan menjadi aset paling untung.
Sebaliknya, mereka mungkin memilikinya kerana aset tersebut memainkan fungsi tertentu yang melengkapkan keseluruhan portfolio.
Perbincangan tentang ASB dan emas tidak seharusnya tertumpu pada persoalan “mana lebih baik?”, tetapi pada bagaimana kedua-duanya boleh digunakan dengan berkesan.
Kesimpulan
Jadi, emas atau ASB mana patut anda pilih? Pada pandangan saya, tidak ada satu jawapan yang sesuai untuk semua orang.
Secara umumnya, ASB boleh memainkan peranan dalam membina dan mengembangkan kekayaan melalui pengagihan pendapatan serta potensi compounding.
Pada masa yang sama, emas boleh membantu mempelbagaikan portfolio dengan memiliki aset yang mempunyai karakter pasaran berbeza.
Kedua-duanya tetap mempunyai risiko. Kadar pengagihan ASB boleh berubah, manakala harga emas boleh turun naik. Bagi emas fizikal pula, terdapat spread antara harga beli dan harga jual.
Sebab itu, memahami fungsi sesuatu aset lebih penting daripada sekadar membandingkan pulangan sejarah.
Pada akhirnya, membandingkan ASB dan emas adalah seperti membandingkan kapak dengan tukul. Kalau mahu memotong kayu, kita gunakan kapak. Kalau mahu mengetuk paku, kita gunakan tukul.
Pada akhirnya, sesuatu alat bukan dinilai berdasarkan mana yang lebih baik, tetapi berdasarkan kesesuaiannya untuk tujuan tertentu.
Begitu juga dengan pelaburan. Fahami tugas duit anda dahulu, kemudian pilih alat yang betul.
Irfan Said,
Penulis info emas & kewangan Malaysia.


