Harga Emas Turun, Apa Nak Buat?

Harga Emas Turun Apa Nak Buat

Satu persoalan yang paling kerap singgah di ruangan mesej saya adalah: “Irfan, harga emas tengah turun ni, apa yang patut saya buat? Patut jual atau tambah lagi?”

Bagi penyimpan emas baru, melihat carta harga yang berwarna merah (menurun) boleh mencetuskan rasa gelisah.

Namun, bagi penyimpan emas yang berilmu, setiap turun naik harga adalah sebahagian daripada permainan yang perlu diurus dengan emosi yang stabil. Berdasarkan pesan guru kewangan saya, ada dua perkara asas yang perlu kita pegang erat.

1. Elakkan Perasaan FOMO (Fear of Missing Out)

Perkara paling asas yang perlu ditanam dalam diri adalah mengawal perasaan FOMO. Apabila harga emas turun mendadak, kita akan nampak ramai orang berebut-rebut menambah simpanan.

Melihat orang lain memuat naik resit pembelian emas di media sosial kadangkala membuatkan kita rasa tertinggal.

Nasihat saya, jangan sesekali membeli emas kerana terikut-ikut. Periksa semula bajet bulanan anda. Adakah anda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi? Adakah pembelian emas ini menggunakan wang yang tidak digunakan dalam masa terdekat?

Fokus pada bajet sendiri sahaja. Biarlah orang lain mahu beli berkilo-kilo sekalipun, itu mengikut kemampuan mereka. Jika bajet kita hanya mengizinkan simpanan 1 gram atau RM100 sebulan, teruskan dengan konsisten tanpa perlu rasa terbeban dengan tindakan orang lain.

2. Fokus Kepada Paras Terendah, Bukan Harga Terendah

Ramai pelabur tersungkur dan akhirnya kecewa kerana terlalu mengejar “harga terendah”. Mereka menunggu dan terus menunggu, mengharapkan harga jatuh lagi sedikit sebelum membeli. Akhirnya, harga tiba-tiba melonjak naik semula dan mereka terlepas peluang keemasan tersebut.

Inilah sebabnya saya selalu menekankan tentang paras terendah, bukannya harga terendah. Apabila harga sudah berada di paras yang rendah mengikut purata harga semasa, itulah masanya untuk kita grab peluang yang ada jika bajet mengizinkan.

Di sinilah kita belajar untuk melawan sifat tamak. Sifat tamaklah yang membuatkan kita menunggu harga yang tidak pasti, manakala sifat sabar dan syukur membuatkan kita menghargai setiap peluang pembelian yang berjaya dilakukan.

Beli Mahal atau Murah Tetap Untung

Dalam dunia penyimpan emas tegar, kita menggunakan prinsip syukur:

  • Jika terbeli pada harga tinggi, kita bersyukur kerana aset emas kita sudah selamat bertambah.

  • Jika dapat beli pada harga murah, kita bersyukur kerana dapat memaksimumkan gram emas dengan modal yang lebih rendah.

Apa yang paling penting bukanlah harga per gram pada hari anda beli, tetapi jumlah keseluruhan gram emas yang anda miliki.

Harga emas akan sentiasa berubah, namun gram emas yang ada di tangan anda tetap kekal nilainya. Semuanya okay belaka, asalkan simpanan emas kita bertambah dari semasa ke semasa.

Game Emas Adalah Tentang Konsistensi

Pelaburan emas bukanlah skim cepat kaya. Ia adalah satu ‘Game’ jangka panjang. Pemenang dalam permainan ini bukanlah mereka yang bijak meramal harga setiap hari, tetapi mereka yang konsisten menyimpan tanpa gagal.

Apabila kita memandang emas sebagai pelindung kekayaan untuk 5 hingga 10 tahun akan datang, turun naik harga harian tidak lagi menjadi isu besar.

Kita tahu bahawa dalam jangka masa panjang, nilai emas akan sentiasa mengatasi inflasi dan mengekalkan kuasa beli kita. Ikuti tips mudah ini:

  1. Tetapkan matlamat (contoh: simpan untuk deposit rumah atau pendidikan anak).

  2. Abaikan bunyi bising di pasaran.

  3. Konsisten menambah gram setiap bulan.

Jika anda ikut langkah ini, anda sudah pun menang dalam ‘Game’ emas ini. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat dan memberi ketenangan buat anda yang sedang memegang emas.

Irfan Sa’id,
Lebih banyak ilmu di Channel Ilmu Emas Irfan Sa’id.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *