Damai

Setelah sekian lama aku tak keluar mengembara, Allah rezekikan juga akhirnya. Ada satu malam, dekat kem yang aku pergi hari itu. Aku tak boleh lelapkan mata. Padahal dah nak dekat pukul 3 pagi.

Esoknya kena bangun 5.50 pagi untuk bersiap-siap. Nak teruskan dengan aktiviti lain. Masa tu jugak, aku buat keputusan bangun keluar dari khemah.

Perlahan-lahan melangkah dalam pekat malam. Takut orang lain pula terjaga. Terjengkit-jengkit hahahaha. Dah macam rupa orang nak mencuri gayanya.

Berjalan ke satu sudut yang jauh sikit dari kawasan khemah. Aku duduk di atas tanah dan terus memandang ke langit. Melihat kepulan-kepulan awan kecil. Bulan melimpahkan cahaya seterang-terangnya.

Dihiasi gugusan bintang yang bersinar. Tak terkira banyaknya. Menjadikan langit malam itu, terlihat sangat cantik dan terang sekali. Aku terpukau dek suasana, mata sampai taknak berkelip.

Momen itu, aku memerhati, mempelajari dan mensyukuri segala nikmat yang Tuhan dah beri selama ini. Terasa lapang sungguh dada. Bebas sebebas-bebasnya.

Ya, itulah yang dipanggil tadabbur alam.

Kadang-kadang kita sangat sibuk uruskan hal dunia sampaikan diri sendiri stress. Masalah kecik pun kita rasa macam ada sebongkah batu besar jatuh atas kepala.

Salah satu sebab tadabbur alam ini adalah untuk terapi diri. Sambil berzikir memuja kebesaran Allah. Lupakan sekejap masalah yang membelenggu diri kita selama ini.

Mungkin kita tak rasa kalau sekadar duduk di rumah. Sebab masih berada dalam zon selesa. Cuba keluar dan mengembara. Pasti kita dapat merasainya.

Bak kata pepatah Melayu, jauh perjalanan, luas pemandangan. Pasti kita dapat belajar banyak lagi tentang alam dan kehidupan.

Irfan Sa’id,
Damai.

Leave a Comment

Your email address will not be published.