Kisah Meatball Cheese

Assalamualaikum semua, saya nak kongsi satu cerita dengan anda semua. Kisah ini sewaktu saya masih di zaman diploma. Jom mula!

Petang tadi saya nak pergi study dekat cafe. Sebelum tu, singgah la beli air dekat kedai air yang paling popular dekat UiTM Tapah ni. Saya beli air Blueberry Latte by Azrai Khairol Signature atau lebih dikenali dengan nama AK Signature.

Siapa yang pernah belajar di UiTM Tapah ni mesti familiar dengan nama ni. Barista paling hensem dekat sini cewah! Murah je tau semua air yang AK Signature ni buat.

Blueberry Latte yang saya beli tu pun RM 3.50 je. Fuh rasa kopi susu dicampur dengan rasa Blueberry tu memang padu! Kecur air liur dibuatnya.

Tapi nak dijadikan cerita, kalau Allah kata bukan rezeki kita, memang takde la rezeki kita. Kisahnya macam ni, baru je saya minum air tu 2-3 teguk, pumm terlepas air tu dari tangan saya! Ya Allah, air baru beli tu geng.

Baru je niat nak merasa air special sikit, memang mencangkung saya tengok air tu tumpah atas lantai. Syahdu yang amat. Satu lagi yang buat saya sedih dan risau, lantai cafe plaza tu baru lepas mop. Ya Allah, kesian dekat makcik cafe yang baru nak berehat petang-petang gitu.

Nasib baik saya kenal dan rapat dengan salah seorang makcik yang selalu bersihkan kawasan cafe tu, Makcik Zura namanya. Dengan hati yang gemuruh, saya pun pergilah kepadanya. “Cik Zura, Irfan minta maaf, Irfan tertumpahkan air kat atas lantai cafe tadi. Takpe, biar saya je mop air yang tumpah tu.”

Tapi Makcik Zura langsung tak marah, dengan nada yang santai dia berkata, “Alahai kamu ni, jangan la risau, setakat air tumpah tu, benda kecik. Takpe, biar makcik bersihkan.”

Fuh, Alhamdulillah lega dengar Makcik Zura cakap gitu. Ingatkan nak kena marah dah tadi. Saya pun dengan rasa bersalah yang amat sangat, ikut je Makcik Zura ambil mop sambil tengok dia bersihkan.

Memang Makcik Zura tak kasi chance langsung saya nak mop. “Kesian pulak dekat makcik, dah susahkan dia pulak.” Keluh saya dalam hati.

Lepas makcik siap mop, makcik suruh saya pergi sambung study dekat meja lain. Saya pun minta maaf sekali lagi sebab dah susahkan dia. Terus saya ambik barang dan sambung study dekat meja lain.

Okay, ni part yang paling best! Dalam saya tengah buat kerja tu, Makcik Zura tadi datang dan bagi saya satu bekas makanan. “Nah, ambik makanan ni, makcik belanja.” Ya Allah, dah la tumpahkan air, susahkan Makcik Zura nak mop, lepas itu dapat pula makanan free gini. Makanan pun bukan biasa-biasa, Meatball Cheese tau!

Makcik Zura kata, “Ha tadi takda rezeki kamu nak minum air tu, ni makcik belanja kamu makanan. Rezeki kamu.” Waktu ni, memang dalam hati tu rasa bersyukur sangat sangat. Hilang satu, Allah ganti dengan yang lebih baik.

Terus saya ucap terima kasih banyak banyak dekat Makcik Zura dan Makcik Zura pun siap-siap nak balik. Saya tengok Makcik Zura tunggang motor dia sambil saya ucap selamat jalan.

Fuh, memang betul lah. Kalau Allah dah takdirkan yang sesuatu itu bukan milik kita, memang alamatnya tak dapat la. Tapi kita kena ingat juga tau.

Bila Allah ambil sesuatu nikmat dari kita, Allah gantikan nikmat itu dengan sesuatu yang lebih besar dan yang tidak kita sangka-sangka.

Oleh itu, kita tidak seharusnya terlalu bersedih jika Allah menguji kita dengan sesuatu ujian. Kita pun manusia. Siapalah kita untuk menidakkan takdir-Nya?

Cuma kita masih mampu berusaha dan berdoa agar kita sentiasa diberi ketabahan hati dan semoga Allah merahmati serta memberkati segala urusan hidup kita.

Kisah yang simple tapi pengajarannya amat mendalam buat diri ini. Memang saya tak akan lupakan sampai bila-bila insyaAllah.

Irfan Sa’id,
Meatball Cheese kenangan bermakna!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *